Skip to main content

Bola Sepak

Pengendali JDT II gembira kongsi mata dengan PDRM

ervin-boban.jpg
Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ervin Boban, tetap gembira dengan prestasi anak buahnya meskipun sekadar berkongsi mata dengan PDRM selepas seri 1-1 dalam pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Jurulatih dari Crotia itu berkata ini kerana pasukannya berjaya meneruskan rekod tanpa kalah selepas tujuh perlawanan sekalipun mereka menghadapi masalah untuk bermain dengan baik berikutan keadaan padang yang lecak susulan hujan lebat sebelum perlawanan.

“Selain itu, pemain saya juga seakan-akan hilang tumpuan buat seketika selepas pengadil memutuskan untuk meneruskan perlawanan selepas menangguhkannya selama hampir satu jam. Namun, saya gembira mereka menemui semula rentak selepas itu,” katanya kepada Bernama.

Boban akan mengekalkan strategi dengan memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan memandangkan persaingan untuk kedudukan teratas Liga Perdana semakin mencabar.

Dalam pada itu, pengendali PDRM, E. Elavarasan, berkata kejayaan mengekang JDT II untuk berkongsi mata meningkatkan keyakinan skuad Sang Saka Biru itu untuk meneruskan prestasi dan meraih kemenangan selepas ini bagi memastikan pasukan keluar daripada zon penyingkiran.

"Penting untuk kami mendapatkan satu mata kerana pasukan JDT II antara pasukan terbaik dalam Liga Perdana. Pemain saya beraksi baik dalam perlawanan hari ini tetapi kami perlu tingkatkan lagi usaha untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya.

Keputusan perlawanan berkenaan menyaksikan JDT II merampas kedudukan teratas daripada Sabah dengan kutipan 15 mata, namun kedudukan itu boleh berubah jika Sabah menewaskan Selangor United di venue sama, hari ini

Dalam perlawanan malam tadi, JDT II terlebih dahulu berada di depan hasil sepakan penalti Mohamad Ghaddar pada minit ke-56 sebelum Muhammad Fauzan Mohd Fauzi menyamakan kedudukan untuk PDRM pada minit ke-86.

-- BERNAMA

  

Advertisement

Must Watch Video