Saul Niguez tidak sabar-sabar untuk membuktikan bahawa prestasinya telah berkembang apabila kembali ke Atletico Madrid selepas tempoh pinjaman rumitnya di Chelsea musim lalu.

Walaupun mencatat 24 penampilan dalam semua pertandingan, pemain tengah itu mengharungi tugas sementara yang sukar bersama jaguh dua trofi Liga Juara-Juara (UCL) tersebut.

Malah, dia hanya lima kali dalam barisan utama perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara sekadar tiga kali melengkapkan 90 minit permainan di bawah kendalian Thomas Tuchel.

Begitupun, Saul menegaskan bahawa tugasannya bersama The Blues adalah pengalaman yang sangat bermanfaat, baik sebagai pemain mahupun individu.

Dan apabila kembali ke kelab induknya, pemain antarabangsa Sepanyol itu berharap dapat menggunakan pengalaman berkenaan sebagai kelebihan untuk berjuang merebut tempat dalam pasukan bimbingan Diego Simeone.

“Saya tidak sabar untuk kembali ke tanah air dan mentaliti saya berada di tahap terbaik,” katanya di laman sesawang rasmi kelab.


“Saya sedar bahawa saya kembali dari tempoh pinjaman tanpa mempunyai banyak minit permainan jadi saya perlu bekerja keras, bertahan dan melakukan banyak pengorbanan untuk mendapat tempat dalam pasukan.

"Wujud persaingan yang sangat tinggi; kami mempunyai pasukan yang sangat kompetitif.

“Saya hanya mampu berterima kasih kepada semua orang di Chelsea atas kepercayaan mereka, begitu juga rakan sepasukan kerana menjadikan tahun ini begitu mudah buat saya dan membantu saya termasuk Atleti kerana memudahkannya.

“Saya datang dengan penuh kerendahan hati, berfikir tentang bekerja dan membantu pasukan dalam apa jua cara yang boleh selagi terdaya.

"Saya benar-benar mahu menunjukkan bahawa walaupun melalui tahun yang rumit, ia sangat bagus untuk saya meningkat dan berkembang dalam banyak aspek, baik sukan mahupun peribadi."