BOLA SEPAK
Pengadil Mexico terima padah cuba dapatkan tandatangan Lionel Messi
Pengadil dari Mexico, Marco Antonio Ortiz Nava, menerima padah gara-gara cuba mendapatkan tandatangan pemenang Anugerah Ballon d'Or lapan kali, Lionel Messi.
Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Persatuan Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) membuat keputusan untuk mengenakan tindakan disiplin ke atas pengadil itu.
Selepas wisel penamat perlawanan Inter Miami menentang Sporting Kansas City dalam saingan Champions Cup, di mana Messi menjaringkan gol penting memastikan kemenangan 1-0 Miami, pengadil dengan Julukan 'El Gato' itu bertindak mendekati pemain kebangsaan Argentina berkenaan.
Iklan
Dia kemudian dilihat meminta jersi pemain itu tetapi dia sebenarnya meminta tandatangan Messi buat ahli keluarganya yang berkelainan upaya.
Di sebalik permintaan yang menyentuh hati itu, tindakan Ortiz berkenaan tidak mematuhi Kod Tatakelakuan Pegawai CONCACAF.
"Setelah disiasat, CONCACAF mendapati bahawa pengadil itu mendekati pemain berkenaan untuk meminta autograf bagi ahli keluarganya yang berkelainan upaya," kata badan induk itu seperti yang dilaporkan ESPN.
"Tindakan pengadil berkenaan tidak mematuhi kod tatakelakuan konfederasi untuk pegawai perlawanan dan prosedur yang ditetapkan berkaitan permintaan seperti itu."
Must-Watch Video