Skip to main content

Bola Sepak

Pemotongan mata T-Team, Perlis dikurangkan kepada tiga

t-team-030517.jpg

Hukuman T-Team dan Perlis dikurangkan sementara ATM terpaksa melalui penyiasatan lanjut selepas ketiga-tiga pasukan itu mengemukakan rayuan kepada Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) berhubung kegagalan melengkapkan pendaftaran pasukan untuk musim ini.

FMLLP dalam satu kenyataan hari ini berkata setelah meneliti permohonan daripada pasukan tersebut, pihaknya telah membatalkan larangan perpindahan pemain dan pemotongan mata dikurangkan daripada enam mata kepada tiga mata kepada pasukan T-Team dan Perlis.

"Surat FMLLP bertarikh 2 Mei 2017 dengan jelas menyatakan bahawa pasukan yang tidak mengemukakan dokumen yang diperlukan sebelum 15 Mei 2017 akan dikenakan penggantungan perpindahan pemain pada jendela kedua.

"Pasukan T-Team dan Perlis telah mengemukakan dokumen seperti yang dikehendaki sebelum tarikh yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, kedua-dua pasukan tersebut tidak memenuhi tarikh tutup lanjutan pada 31 Mac 2017 untuk menghantar dokumen, jadi pasukan akan dikenakan denda. Tetapi disebabkan inisiatif mereka untuk menyelesaikan dokumen yang tertangguh, pemotongan mata dikurangkan kepada tiga."

Tambah kenyataan itu, rayuan pasukan ATM masih dalam pertimbangan FMLLP yang mana memerlukan penyiasatan lanjut sebelum keputusan akhir dibuat dalam masa terdekat.

"Objektif FMLLP adalah pematuhan oleh pasukan. Dalam kes ini, pematuhan kepada tarikh akhir untuk menghantar dokumen bagi pendaftaran pasukan. FMLLP berharap pematuhan oleh pasukan akan bertambah baik dan dikekalkan untuk masa akan datang."

Advertisement

Must Watch Video