Skip to main content

Bola Sepak

Pemilihan KAFA: Abdul Rashid pula tarik diri

annuar-musa.jpg
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan presiden dalam Kongres Agung Luar Biasa (EGM) Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), pagi esok.

Dengan keputusan itu, kerusi presiden akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu di antara calon pilihan, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz 

Abdul Rashid berkata penarikan dirinya dibuat kerana terlalu sibuk dengan komitmen dan urusan parti serta bimbang tidak mampu memberi lebih tumpuan kepada persatuan itu.

"Saya turut diamanahkan untuk mengendalikan satu jawatankuasa penting berkaitan dengan reformasi pilihan raya yang memerlukan tumpuan lebih menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif KAFA, Arif Hassan, mengesahkan pihaknya menerima keputusan tersebut petang tadi.

"Kami (urusetia) menerima keputusan tersebut dan saya ingin tegaskan sehingga kini, semua calon bagi semua jawatan masih berminat untuk bertanding dalam EGM, pagi esok," katanya.

Untuk rekod, EGM KAFA diadakan selepas Exco sebulat suara bersetuju menerima desakan daripada Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) ekoran daripada kemerosotan prestasi skuad The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Perdana dan keputusan bekas presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan, meletak jawatan.

Advertisement

Must Watch Video