BOLA SEPAK MSIA
Pemilihan Cape Verde bukan 'tangkap muat' -- jurulatih Harimau Malaya
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menegaskan pemilihan Cape Verde untuk perlawanan persahabatan antarabangsa hujung bulan ini bukan sekadar 'tangkap muat'.
Sebaliknya, pengendali dari Australia itu percaya negara berkenaan mampu menghadirkan cabaran besar buat anak buahnya sebelum bertemu Vietnam bagi aksi pusingan kelayakan Piala Asia pada 10 Jun depan.
Buktinya, Cape Verde kini menghuni ranking ke-72 dunia, jauh lebih baik berbanding skuad negara yang berada di ranking ke-131 dunia.
Iklan
Mereka juga berada dalam prestasi terbaik menerusi kemenangan dalam dua perlawanan terakhir dan turut mengikat Mesir 1-1 pada November lalu.
Malaysia dan Cape Verde akan berentap sebanyak dua kali, iaitu dalam aksi persahabatan tier 1 pada 29 Mei ini disusuli perlawanan tertutup pada 3 Jun depan.
"Kem latihan yang kami rancangkan merupakan satu fasa getir untuk bersedia menghadapi perlawanan menentang Vietnam," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Dan kem latihan ini bukan sekadar untuk persediaan, ia akan mencerminkan keadaan sebenar.
"Dan untuk menguji diri, kami akan berdepan lawan yang amat kuat bagi perlawanan persahabatan antarabangsa.
"Cape Verde merupakan antara pasukan kebangsaan terkuat di Afrika, di mana pemain mereka beraksi di pentas tertinggi di Eropah.
"Inilah ujian yang kami perlukan, ia akan mendorong kami untuk mencabar diri dan membantu kami berkembang sebagai satu pasukan.
"Kami mahu menunjukkan kepada Malaysia pasukan seperti apa yang kami mahu ciptakan dan mengapa kami perlu bermain dengan agresif, pantas dan menarik, dan bersedia untuk bersaing dengan pasukan terbaik.
Must-Watch Video