Skip to main content

Bola Sepak

Pembaharuan kontrak Messi sentiasa sukar, kata Abidal

messi-cropped_1sf40wen2ofvt13rwxofl2hpjm-(1).jpg
Lionel Messi mahu kekal di Barcelona tetapi sentiasa sukar untuk memperbaharui kontraknya, kata setiausaha teknikal kelab, Eric Abidal.

Masa depan Messi menjadi persoalan susulan isu di Camp Nou, di mana dia mengkritik Abidal menerusi laman sosial susulan kenyataan bekas pemain itu yang mempersoalkan usaha skuad di bawah kendalian Ernesto Valverde sebelumnya.

Kapten Barca itu menggesa Abidal untuk menamakan pemain yang dimaksudkannya sambil mengecam tindakan memperburukkan pasukan selepas dakwaan bahawa sesetengah pemain tidak berusaha keras sewaktu penghujung tempoh Valverde mengendalikan pasukan.

Messi boleh membatalkan kontraknya di penghujung musim ini dan keluar secara percuma, sekali gus mencetuskan khabar angin dia mahukan cabaran baru bagi kempen 2020-21 walaupun Pep Guardiola menegaskan dia tidak mahu Manchester City mendapatkan bintang Argentina itu.

Abidal tampak mahu melanjutkan kontrak Messi yang bakal tamat pada Jun 2021 tetapi dia mengakui sukar untuk berbincang terma dengan pemain yang dianggap terbaik dunia itu.

"Ia satu persoalan untuknya," katanya.

"Messi berkata Barca adalah segala-galanya untuk dia, mahu kekal di sini dan terdapat beberapa syarat. Kami bercakap tentang pemain terbaik dunia dan melanjutkan kontraknya, ia tidak mudah."

Messi sentiasa dilihat mahu menamatkan karier Eropahnya bersama Barca walaupun dia dilaporkan mahu kelab itu berada dalam situasi kukuh untuk mencabar LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah sebelum berbincang mengenai kontrak baru.

Abidal, yang yakin peluang Barca untuk meraih kejuaraan benua musim ini, menegaskan mereka tidak boleh ditewaskan jika beraksi di tahap tertinggi.

"Liga Juara-Juara adalah objektif. Kami tahu cabaran memang sukar tetapi ia tidak mustahil," katanya.

"Bagi saya, seteru Barcelona adalah Barca. Jika pasukan dalam keadaan terbaik fizikal dan mental, sukar untuk kami kehilangan bola dan kalah."




Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found