Skip to main content

Bola Sepak

Pemain UiTM digesa usah hanyut dengan pencapaian semasa

wanmustaffa-050517.jpg
Pengendali UiTM FC, Wan Mustafa Wan Ismail, enggan anak buahnya berasa terlalu selesa berdepan PDRM FA hari ini meskipun sudah melangkah ke saingan Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penubuhan pasukan itu. 

Tidak mahu terlalu dibuai dengan kejayaan minggu lalu, Wan Mustafa menuntut anak buahnya supaya fokus terhadap aksi menentang The Cops. 

Baginya, setiap mata amat penting ketika ini untuk terus mengejar pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan, sambil menetapkan misi baru untuk muncul pasukan kedua terbaik dalam saingan liga. 

Sasaran itu dianggap realistik kerana jarak mata di antara UiTM, yang kini berada di tangga kelimadengan 18 mata, tidak jauh dengan Terengganu yang menduduki tangga kedua dengan 24 mata. 

"Kami kini berada dalam kelompok atas, kami mempunyai matlamat lain. 

"Dengan kedudukan mata yang tidak jauh, saya harap pemain saya akan teruskan momentum dan cuba sedaya-upaya berada dalam kelompok atas dan mengejar kedudukan pendahulu liga," katanya. 

Masih lagi merendah diri dengan meletakkan status pasukannya sebagai 'underdog', Wan Mustafa tetap berasakan PDRM mampu menghadirkan ancaman sungguhpun prestasi pasukan kendalian Fauzi Pilus itu tidak konsisten dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini. 

Daripada empat pertemuan terakhir mereka sebelum ini, PDRM hanya mampu mencatat satu kemenangan, tewas sekali dan seri dua kali. 

"Dalam setiap perlawanan, UiTM adalah pasukan underdog memandangkan kami sebuah pasukan kerdil.

"Cuma kami sudah ubah sedikit persepsi dan semakin dihormati. 

"Kami akan kekalkan prestasi ketika ini untuk berasa lebih yakin menghadapi lawan yang lebih berpengalaman." 
 

Advertisement

Must Watch Video