Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Pemain dari Brazil tampung kehilangan Abbey

thomas-abbey.jpg
Suka atau tidak, PKNP FC perlu mencari pengganti Thomas Abbey yang tidak dapat beraksi selama lapan minggu kerana mengalami kecederaan kaki serius.

Begitu luahan ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, selepas kekalahan 1-3 pasukannya kepada Perak di Stadium Perak, malam tadi. 

"Ketiadaan Abbey begitu memberi kesan. PKNP tidak mampu mengharungi tempoh lapan minggu tanpa seorang lagi import.

"Oleh itu, saya akan mencari penggantinya di posisi tengah menyerang.

"Malah,calonnya sudah ada, iaitu seorang pemain dari Brazil. Dia akan tiba esok atau lusa," katanya.

Menurut Abu Bakar, pemain baru itu akan digandingkan bersama Yashir Pinto Islame dan Giancarlo Lopes Rodriguez.

Mengenai kekalahan kali ketiga kepada Perak, Abu Bakar menjelaskan mereka tumpas kerana tidak fokus dalam perlawanan sehingga membolehkan Perak menjaringkan gol seawal minit keenam serta memberi sepakan penalti dan dihukum ketika sepakan percuma.

"Faktor-faktor seperti itu serta pengalaman menjadi pemisah di antara kami dengan Perak walaupun pemain cuba memberi tentangan," katanya.

Tambah Abu Bakar, fokus pasukannya kini ialah dalam Liga Super, terutama bagi menghadapi pertemuan dengan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu ini.

"Misi kami ialah untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super 2020, sehubungan itu kami perlu mengutip sebanyak mata yang boleh," ujarnya.

PKNP FC ketika ini berada dalam kelompok tiga terbawah dengan hanya mengutip 11 mata untuk berada di atas Kuala Lumpur yang mempunyai sama mata, disusuli Felda United dengan lapan mata. 

Bagaimanapun, anak buah Nidzam Jamil itu berpeluang memungut 11 mata seandainya menang ke atas Melaka United, malam ini.

Advertisement

Must Watch Video