Skip to main content

Bola Sepak

Peluang Vingada perkenal falsafahnya kepada Harimau Malaya

amri.jpg
Penyerang skuad kebangsaan, Amri Yahyah, menyambut baik keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menunda aksi kelayakan Piala Asia di antara Korea Utara dan Malaysia daripada 8 Jun kepada 5 Oktober depan.

Bagi Amri, keputusan itu adalah wajar memandangkan situasi tidak menentu di Semenanjung Korea, mutakhir ini.

Tambahnya, tarikh baru juga membolehkan jurulatih baru skuad kebangsaan, Nelo Vingada, untuk melakukan persiapan rapi membentuk pasukan.

"Ada tempoh untuk pasukan kebangsaan memantapkan pasukan," kata Amri yang baru kembali menyertai Selangor dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).

"Dengan kehadiran jurulatih baru, ini akan memberinya ruang untuk memilih pemain yang benar-benar mantap untuk mewakili skuad negara."

Pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri dan Rizal Hashim, turut meluahkan pendapat sama mengenai perkembangan itu.

Vingada kini mungkin mampu merangka satu perlawanan persahabatan sebelum berdepan aksi kelayakan pertama berdepan Lubnan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 13 Jun nanti.

"Tertundanya perlawanan ini sedikit-sebanyak memberi kelebihan kepada kita. Dengan jurulatih baru, kita mempunyai masa untuk menambah perancangan untuk pasukan kebangsaan," kata Asmawi.

Menurut Rizal pula: "Jika dapat mengatur satu perlawanan dengan negara jiran terdekat, mungkin ia satu persiapan yang baik buat Vingada memperkenalkan falsafahnya.

"Ini kerana sudah tentu dia mempunyai falsafah tersendiri untuk pemain mengharungi corak permainan bola sepak moden."

Advertisement

Must Watch Video