Skip to main content

Bola Sepak

Peluang terbuka buat semua pasukan

undian-piala-malaysia.jpg
Kumpulan A dan Kumpulan C mencuri tumpuan dalam Majlis Undian Piala Malaysia dan Piala Cabaran di Damansara, sebentar tadi. 

16 pasukan menghitung nasib mereka dalam majlis undian bersempena edisi ke-93 itu yang menyaksikan Kumpulan A menempatkan juara lima kali, Kedah, disusuli Terengganu, PKNS FC dan satu wakil daripada Liga Perdana, Negeri Sembilan. 

Kumpulan B pula dibarisi empat wakil kelab.

Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai cabaran tersendiri apabila bakal berdepan rintangan pasukan yang mencalarkan imej mereka dalam Liga Super, Petaling Jaya (PJ) City, sambil satu lagi slot ke suku akhir dilihat terbuka apabila turut melibatkan PKNP FC dan UiTM. 

Juara bertahan, Perak, pula mengisi Kumpulan C dengan tiga lagi pasukan turut mempunyai reputasi tersendiri. 

Pahang sudah pasti mahu menebus kekecewaan terlepas dua piala sementara Sabah pula akan turun dengan semangat bergelar juara Liga Perdana disusuli Pulau Pinang yang mempamerkan kebangkitan dalam pusingan kedua divisyen dua Liga Malaysia, namun masih segar dengan dinafikan tiket ke Liga Super ekoran dipotong mata. 

Sementara itu, pasukan paling berjaya dalam saingan tertua di Asia ini, Selangor, dengan 33 kejuaraan pula akan berhitung dengan Melaka United, Felda United serta PDRM FA. 

Undian Piala Cabaran, yang diadakan terlebih dahulu, menyaksikan Kelantan, JDT II dan Sarawak mengisi slot Kumpulan A. 

Juara bertahan, Terengganu II, UKM FC, Selangor United dan Kuala Lumpur pula akan bersaing dalam Kumpulan B. 

Jadual perlawanan akan dikeluarkan dalam tempoh 48 jam selepas majlis undian selesai.

Untuk perkembangan lanjut, ikuti Nadi Arena jam 7.30 dan 11 malam ini. 

Advertisement

Must Watch Video