Skip to main content

Bola Sepak

Pegawai EPL paling teruk di dunia -- Warnock

neil-warnock.jpg
Neil Warnock mendakwa pegawai perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah yang paling teruk di dunia selepas Cardiff City tewas 2-1 di laman sendiri kepada Chelsea, malam tadi.

Cardiff mendahului permainan menerusi jaringan Victor Camarasa dalam separuh masa kedua ketika skuad kendalian Warnock itu memerlukan tiga mata untuk memastikan mereka mengelak daripada penyingkiran.

Tetapi ketika perlawanan berbaki enam minit, Cesar Azpilicueta menanduk masuk jaringan penyamaan The Blues di sebalik ulang tayang menunjukkan kapten Chelsea itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Warnock sekali lagi berang apabila Antonio Rudiger hanya dilayangkan kuning selepas menjatuhkan penyerang Cardiff, Kenneth Zohore.

Melengkapkan perlawanan yang mengecewakan Warnock, Cardiff dibolosi jaringan kedua Chelsea dalam minit pertama masa kecederaan apabila Ruben Loftus-Cheek melengkapkan kemenangan pelawat selepas menanduk masuk hantaran silang Willian.

Warnock kelihatan bertikam lidah dengan pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, ketika perlawanan terikat 1-1 dan kemudian meluahkan kekecewaannya kepada pegawai perlawanan selepas tamat permainan.

Kekalahan itu menyaksikan Cardiff memerlukan lima mata untuk keluar daripada zon penyingkiran.

"Saya sangat berbangga dengan barisan pemain. Kami tidak hanya bertahan tetapi turut berusaha mencari jaringan. Sukar untuk menerima kekalahan dalam perlawanan ini. Pengadil gagal memberikan keputusan yang tepat.

"Mereka gagal melihat pemain Chelsea dalam kedudukan ofsaid. Kad merah tidak dilayangkan (kepada Rudiger gara-gara terjahannya) tetapi ia tidak diberikan.

"Sejujurnya, saya agak hairan dengan situasi ini. EPL adalah liga terbaik dunia tetapi mungkin memiliki pegawai perlawanan yang paling teruk.

"Saya tidak tahu apa yang diajar Mike Riley (ketua pengadil) kepada penjaga garisan. Mereka tidak memahami apa yang dipertaruhkan dalam perlawanan sebegini," katanya.

Cardiff akan berkunjung ke Manchester City, Rabu ini, sebelum menghadapi perhitungan di Turf Moor empat hari kemudian dan Warnock menyedari sukar untuk membangkitkan semula semangat pemain-pemainnya.

"Pemain-pemain agak tertekan dan tidak terkata apa-apa.

"Kami harus kembali bersatu. Empat daripada baki perlawanan musim ini mampu dimenangi dan kami perlu melakukan yang terbaik," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video