Skip to main content

Bola Sepak

PDRM 'beri laluan' kepada PKNS

pkns-nuridzwan.jpg
PKNS FC garang membelasah PDRM FA 5-0 di Stadium Shah Alam malam tadi untuk mereka muncul juara Kumpulan B, Piala Malaysia setelah pesaing terdekat, Felda United, dikejutkan dengan kekalahan 1-6 di tangan Melaka United.

Biarpun hanya menurunkan tiga tonggak import dan beberapa tonggak simpanan, PKNS tetap menampilkan aksi memikat yang sukar dibendung PDRM.

Seawal minit ketiga, kesilapan pertahanan PDRM semasa melakukan hantaran ke belakang dihukum Jafri Firdaus Chew yang pantas menerpa untuk gol pertama tuan rumah.

PKNS terus rakus menambah jaringan, kali ini giliran Bruno Matos pada minit ke-13 selepas menyambut umpanan Romel Oswaldo.

Belum sempat PDRM menyusun rentak, kerapuhan benteng mereka terus terserlah pada minit ke-21, sekali lagi melalui sentuhan penyudah Matos hasil hantaran diilhamkan Oswaldo.

Nasib The Cops kian buruk dan pada minit ke-53, daripada sepakan gol dilakukan penjaga gol, Shahril Saari, yang pantas disambut Faizat Ghazali melalui larian pantas ke depan gawang untuk jaringan keempat PKNS.

Pesta jaringan PKNS lengkap pada minit ke-76 dengan Matos meledak hatrik selepas menyudahkan hantaran lintang Qayyum Marjoni dari sebelah kiri.

"Walaupun menang, kami mungkin boleh membuat jaringan yang lebih besar lagi. 

"Tetapi, apa yang penting adalah bagaimana saya melihat aksi keseluruhan pemain," kata ketua jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal.

Menurut pemangku ketua jurulatih PDRM, Fauzi Pilus: "Kami dihukum pada minit ketiga yang dilakukan pemain import dan gol kedua pihak lawan juga berpunca daripada kesilapan yang sama. 

"Dua gol awal itu membuatkan kami rebah dan untuk bangkit ketika menghadapi pasukan seperti PKNS adalah agak sukar." 

Advertisement

Must Watch Video