'Tidak salah 'parking bas' lawan JDT', itu kata penolong jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira, yang mengakui perlu bersikap realistik berdepan Johor Darul Ta'zim untuk aksi suku akhir Piala FA nanti.

Ia mengambil kira kualiti yang dimiliki lawan dalam pelbagai aspek tatkala Manzoor menegaskan taktikal bertahan turut diterapkan oleh mana-mana pasukan di dunia.

"Jika anda melihat Jose Mourinho, seorang pengurus bertaraf dunia dan memimpin pasukan yang berkualiti dan itu strategi (bertahan) yang digunakan ketika bertemu lawan yang lebih kuat," kata Manzoor.

"Ia bergantung kepada sasaran kami, samada mahu menikmati perlawanan namun dibelasah pasukan lawan, ia secara tidak langsung menurunkan moral dan semangat pasukan, ia sesuatu yang tidak baik buat pasukan."

PDRM FC tampak jadi inspirasi terbaik buat penang susulan strategi 'sekatan jalan raya' The Cops menjadi apabila berjaya menyekat JDT berpesta jaringan.



Penang mara ke suku akhir Piala FA setelah menundukkan Kuching City 4-0 dan pasukan dari utara tanahair itu dijangka kekal berada di bawah bimbingan Manzoor hingga akhir musim.

Ini susulan jurulatihnya Chong Yee Fat difahamkan belum sihat sepenuhnya daripada masalah jantung.

"Pemain-pemain mengambil positif dengan kedudukan semasa ini. Mereka perlu melakukan yang terbaik, termasuk buat diri saya perlu memastikan pasukan meraih keputusan positif."