Skip to main content

Bola Sepak

Panik halang Felda menang besar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pkns-felda-united.jpg
Perasaan panik yang menghantui Felda United menghalang mereka untuk menang besar ketika bertemu PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi. 

Ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Jamil, berkata perasaan panik juga nyaris menyebabkan mereka kehilangan tiga mata yang amat berharga bagi membaiki kedudukan pasukan. 

"Kami sepatutnya berupaya mengakhiri perlawanan dengan kemenangan besar jika situasi panik tidak berlaku. Apa pun, saya bersyukur Felda United menang dan paling penting, kami dapat berganjak dari kedudukan bawah.

"Ketika kami mendahului 5-1, kami sepatutnya membunuh permainan tetapi semua pihak panik, termasuk saya, sehinggakan apabila mahu menukar pemain, macam-macam yang kami fikirkan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan. 

Dalam perlawanan itu, The Fighters mencatat kemenangan kedua musim ini selepas menang tipis 5-4 ke atas PKNS menerusi jaringan Thiago Junio De Aquino pada minit keempat, kapten, Hadin Azman (m-44), Faiz Mazlan (m-47) dan dua gol pemain kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal pada minit ke-51 dan 55.

PKNS pula memperoleh jaringan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-15, Tamirlan Kozubaev (m-60), Jafri Firdaus Chew (m-71) dan Rodney Akwensivie pada minit ke-81. 

Mohd Nidzam juga memuji persembahan anak buahnya yang bekerja keras untuk bertahan dan melancarkan serangan, namun dalam masa sama, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum perlawanan seterusnya. 

"Kami perlu membetulkan situasi bola mati dan sepakan sudut supaya dapat menghasilkan lebih banyak gol dalam aksi akan datang. Kami juga dibarisi ramai pemain muda dan saya perlu bersabar untuk menunggu mereka matang dalam perlawanan," katanya. 

Sementara itu, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, berkata keyakinan skuadnya goyah apabila pasukan tuan rumah mencipta gol seawal babak pertama dan lebih memburukkan keadaan lagi, dibolosi tiga gol dalam tempoh 46 minit permainan. 

"Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa menukar pemain untuk mengimbangi permainan dan kami mula menghasilkan satu gol demi satu gol. 

"Secara keseluruhannya, kami bermain kurang baik dan pemain juga tidak memanfaatkan peluang yang diperoleh," katanya. 

Pengendali itu juga mengakui agak kecewa dengan keputusan tersebut dan bertanggungjawab atas kekalahan tipis itu.

"Pemain lambat bangkit dan apabila mereka cuba mengejar kedudukan, ia sudah terlambat. 

"Kemenangan ini memang penting untuk kami kerana kutipan mata setiap pasukan dalam liga tidak jauh berbeza," katanya.

-- BERNAMA 

Advertisement

Must Watch Video