Jawatankuasa Pemandu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mendedahkan pelantikan Oscar Francisco Gonzalez sebagai pengarah teknikal NFDP bermula 21 April 2024 lalu.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan sebentar tadi menjelaskan pemilihan Oscar yang juga diberikan tanggungjawab selaku Pengarah Teknikal Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Bekas ketua Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Bolasepak Australia (AAFC) dipilih hasil cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setelah empat calon yang disenarai pendek pada 13 Disember 2023.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengetuai panel penemuduga berkenaan yang turut dianggotai Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Abdul Rahman, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell, dan Ketua Unit Sumber FAM, Zukhailah Marzuki.





Oscar yang memegang Diploma Kejurulatihan Professional Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memiliki pengalaman lebih 20 tahun mengendalikan program pembangunan bola sepak belia elit di New South Wales.

Dia juga telah berkhidmat di beberapa kelab terkemuka seperti Nantong Zhiyun FC di China, Football New South Wales, Westfield Sports dan A League Central Coast Mariners di Australia.