Skip to main content

Bola Sepak

Pahang gagal temui sentuhan penyudah

pahanpknp.jpg

Pahang masih dihantui masalah ketandusan jaringan walaupun memiliki banyak peluang keemasan sehingga terpaksa akur dengan keputusan seri 0-0 ketika bertemu PKNP FC dalam Kumpulan D, Piala Malaysia malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh, berkata rentetan itu beliau amat mengharapkan penyerang import mereka, Patrick Cruz, dapat diturunkan dalam perlawanan akan datang bagi memastikan slot ke suku akhir dalam genggaman Pahang.

Advertisement

"Saya sebenarnya berpuas hati dengan permainan Pahang malam ini, malangnya tidak ada gol yang diperoleh walaupun bahagian depan banyak mendapat peluang… kami main di tempat sendiri dan tidak dapat mengutip tiga mata penuh.

"Oleh itu, saya berharap sangat penyerang import kami, Patrick Cruz yang kini semakin pulih daripada kecederaan dapat bermain. Cuma saya tidak pasti dia dapat diturunkan atau tidak apabila kami bertemu Selangor nanti," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dollah berkata selain ketumpulan jentera serangan, beliau sedikit gusar dengan kecederaan yang dialami oleh pemain tengah, Muhammad Safuwan Baharudin, ketika berhadapan PKNP FC, malam tadi.

"Saya tidak pasti tahap kecederaan yang dialami oleh Safuwan semasa di atas padang.

"Apapun saya berharap ia tidak serius kerana dia antara tonggak Pahang dan tanpanya, kami akan menghadapi kekurangan di bahagian tengah," katanya.

Beliau, bagaimanapun, mengakui lega apabila Mohd Afif Amiruddin bergandingan dengan Muslim Ahmad di bahagian pertahanan skuad Tok Gajah yang menyaksikan mereka sukar dirobek pihak lawan.

Sementara itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berkata aksi malam tadi adalah misi sukar buat anak buahnya dalam menyekat kemaraan Pahang.

"Pahang memiliki segala kelebihan dan amat mahukan kemenangan untuk terus mara. Ini semestinya memberi tekanan hebat kepada PKNP FC.

"Peluang PKNP FC pula masih ada di mana kami perlu mengelakkan kekalahan dalam dua perlawanan seterusnya bagi memastikan terus kekal dalam saingan Piala Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video