Skip to main content

Bola Sepak

Pahang dapat laluan selesa

pahang-2019.jpg
Juara bertahan Piala FA, Pahang, mendapat laluan selesa selepas diundi menentang wakil Liga Perdana, UKM FC, dalam pusingan ketiga yang dijadual berlangsung mengikut format kalah mati pada 16 dan 17 April ini.

Dalam majlis undian di Mercu Mustapa Kamal, Petaling Jaya, hari ini, juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan nasib berbeza selepas diundi menentang pasukan meningkat naik, PKNS FC, yang mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan Liga Super setakat ini.

Juara empat kali, Kedah, pula diundi bertemu satu lagi wakil Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pasukan Liga Super, PKNP FC, perlu menunggu pemenang perlawanan pusingan kedua di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak.

Perlawanan itu yang sepatutnya berlangsung 2 April lalu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu susulan hujan lebat dan petir sebelum sepak mula perlawanan berkenaan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sementara itu, Pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang, menjelaskan tiada istilah mudah bagi pemain skuad Tok Gajah yang akan memberi aksi terbaik berdepan UKM di tempat lawan dalam misi mereka mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu selain pada 2006 dan 2014.

“Memang menjadi prinsip pasukan Pahang kami tidak akan merendahkan mana-mana pasukan, tidak kira pasukan itu beraksi dalam Liga M3 atau M4 dan kami tidak menanam sikap terlalu yakin (untuk menang) apabila menghadapi mana-mana pasukan.

“Sebab itu, kami sentiasa menerapkan nilai-nilai untuk menghormati pasukan lain dan kami perlu mempamerkan permainan terbaik untuk memenangi apa sahaja perlawanan yang kami hadapi,” tegas Suffian.

Berkongsi pandangan sama adalah kapten pasukan Kelantan United, Daudsu Jamaluddin, yang menuntut rakan sepasukan tidak mengambil mudah pertemuan dengan pasukan Liga Super, Terengganu FC, apabila kedua-duanya berentap dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

“Kemenangan ke atas Sabah dalam pusingan kedua di Kota Bharu sebelum ini perlu dilupakan dan kami mengharapkan sokongan padu penyokong untuk menaikkan semangat pemain apabila kami menentang Terengganu FC di laman sendiri,” jelas bekas pemain kebangsaan itu.

Jadual penuh pusingan ketiga Piala FA:

UKM FC lwn Pahang

Selangor lwn Felda United

PKNP FC lwn PDRM/Sarawak

JDT lwn PKNS FC

Kelantan United lwn Terengganu FC

Jerantut FA lwn Perak

Kedah lwn PJ City FC

Pulau Pinang lwn Kuala Lumpur

Advertisement

Must Watch Video