Skip to main content

Bola Sepak

Padang SSMZA siap September ini

img_5332.jpg
Kerja-kerja menaik taraf padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, dijangka siap dan boleh digunakan September ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, usaha awal akan tertumpu kepada sistem saliran sebelum proses penanaman rumput baharu.

Bagi kelancaran kerja-kerja berkenaan, jawatankuasa pemantau juga dibentuk yang diketuai Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Marzuki Sulong.

"Rumput jenis 'Bermuda' akan digunakan berbanding jenis 'Paspalum' yang lebih cerewet penjagaannya.

"Jawatankuasa yang ditubuhkan itu pula dibarisi wakil MFL, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT)," jelasnya.

Hishamuddin yang juga Timbalan Presiden PBSNT sebelum ini mengumumkan peruntukan RM1 juta daripada MFL untuk menambah baik kualiti padang tersebut.
 
Sementara itu, fasa utama pembaikian kerosakan SSMZA terpaksa ditangguhkan ekoran anggaran kos yang tinggi mencecah RM100 juta.

Hishamuddin berkata keputusan hanya akan dibuat sebaik mendapat maklumat selanjutnya daripada JKR.

"Jumlah itu seperti membina stadium baharu. JKR disyorkan untuk menilai kos sebenar sebelum sebarang keputusan dibuat," tambahnya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.

Kredit foto: Kompleks Sukan Negeri Terengganu

Advertisement

Must Watch Video