David Ospina menggesa Colombia agar tidak membiarkan kemenangan hebat 3-0 mereka ke atas Poland menjadi sia-sia apabila pasukannya itu mencari tiga mata lagi dalam pertemuan menentang Senegal dalam Kumpulan H, Piala Dunia di Samara Arena, esok.

Pasukan itu, yang menamatkan saingan dalam suku akhir Piala Dunia 2014, memulakan kempen Russia 2018 dengan teruk, yang menyaksikan kad merah dilayangkan kepada Carlos Sanchez pada minit ketiga ketika tewas 2-1 kepada Jepun.

Mereka menunjukkan kebangkitan ketika menentang Poland dan kemenangan 3-0 di Kazan kelmarin menyingkirkan lawan itu dan mengekalkan harapan mereka dalam saingan.

Colombia menduduki tempat ketiga dalam kumpulan, satu mata di belakang Jepun dan Senegal yang mengalahkan Poland 2-1 dalam perlawanan pertama mereka sebelum seri 2-2 dengan skuad Samurai Biru itu.

Walaupun satu mata pasti sudah cukup untuk melihat Senegal mara ke pusingan 16, Colombia memerlukan kemenangan di Samara jika skuad Jose Pekerman itu mahu mengelak penyingkiran dalam kejohanan.

"Kami tidak fikirkan apa-apa selain perlawanan seterusnya," kata penjaga gol Arsenal, Ospina. "Kami masih berada di tempat ketiga dalam kumpulan dan jika kami tidak menang, maka kami akan pulang.

"Jadi tumpuan kami 100 peratus kepada Senegal, bukan fikirkan pasukan mana yang mara ke pusingan seterusnya. Kemenangan ke atas Poland meletakkan kami kembali dalam Piala Dunia," ujarnya.

Radamel Falcao menjaringkan gol pertama Piala Dunianya dalam kemenangan ke atas Poland dan Ospina gembira melihat rakan sepasukannya itu menyudahkan gol di pentas besar ini.

"Falcao menjadi penyerang hebat -- dan saya fikir dia membuktikan bahawa dia masih penyerang hebat," kata Ospina. "Dia kawan saya dan saya gembira untuknya. Ia adalah penting untuk menjaringkan gol apabila kamu menjadi pemain utama dan kini tekanannya tidak besar."

Sementara itu, jurulatih Senegal, Aliou Cisse -- kapten pasukan yang mara pusingan lapan terakhir pada 2002 -- kurang terkesan dengan persembahan pasukannya ketika menentang Jepun tetapi sedar pusingan kalah mati masih dalam jangkauan mereka.

"Kami bekerja keras, kami hanya perlu satu mata untuk layak, ini adalah matlamat kami. Generasi ini layak untuk terus mara dalam pertandingan ini," katanya.

"Kami perlu memperbaiki impak, kami perlu lebih agresif dalam permainan. Pada tahap ini, ia berjalan dengan pantas. Kami perlu memberi banyak tumpuan. Kami perlu lebih padat."