Skip to main content

Bola Sepak

Origi gembira bawa watak penyelamat Liverpool

daniel-sturridge-and-divock-origi.jpg
Divock Origi meraikan peranannya sebagai 'supersub' sambil menabik semangat juang Liverpool dalam aksi getir menentang Newcastle United yang berakhir dengan lima jaringan di St. James' Park, awal pagi tadi.

Origi dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua dan menghasilkan sentuhan penting ketika menyudahkan sepakan percuma Xherdan Shaqiri pada minit ke-86 yang memastikan kemenangan 3-2 The Reds untuk kembali ke puncak Liga Perdana.

Pemain kebangsaan Belgium itu, yang menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir sewaktu 'derby' Merseyside, November lalu, hanya dimasukkan selepas Mohamed Salah diusung keluar gara-gara bertembung dengan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.

Origi menganggap kehilangan bintang penyerang pasukannya itu memberikan motivasi tambahan buat The Reds meraih tiga mata penting walaupun dua kali dinafikan lawan yang cuba bangkit.

"Saya gembira untuk menjaringkan gol kemenangan yang amat-amat lewat.

"Kami bekerja keras dan ia merupakan waktu terpenting buat musim ini.

"Juga buat Mo yang terpaksa dikeluarkan pada lewat permainan.

"Kami berasakan kami perlu untuk mendapatkan tiga mata dan menunjukkan semangat juang sehingga akhir perlawanan.

"Kami cukup beremosi, namun kami dapat mengawalnya.

"Ia amat menarik. Ia merupakan musim yang istimewa dan kami telah melakukannya dengan amat baik.

"Namun, kami mahu menamatkannya dengan bergaya.

"Kita akan lihat apa yang akan berlaku dalam baki perlawanan musim ini.

"Kami melakukan segala-galanya untuk memenangi segala-galanya dan harap-harap ia akan memihak kami," katanya.

Virgil van Dijk dan Salah menemui sasaran ketika Liverpool mendahului 2-1 dalam babak pertama sebelum Salomon Rondon menjaringkan gol penyamaan kedua buat Newcastle.

Christian Atsu menjaringkan gol pertama Newcastle pada minit ke-20 dalam keadaan penuh kontroversi selepas Trent Alexander-Arnold menahan percubaan awal Rondon dengan menggunakan tangan sebelum penyerang itu melakukan gerakan susulan.

Pengadil, Andre Marriner, mengesahkan jaringan berkenaan tanpa melayangkan kad merah buat pertahanan kanan Liverpool itu.

"Bola itu menuju ke arah saya dengan amat pantas dan ia adalah gerakan yang tidak disengajakan," kata Alexander-Arnold.

"Tangan saya tidak diangkat ke atas dan kekal di sisi saya.

"Jika anda amati jaringan kedua mereka, saya terlebih dahulu dikasari, namun ia jelas tidak kelihatan."

Advertisement

Must Watch Video