Skip to main content

Bola Sepak

Olmo: Leipzig perlu belajar daripada kesilapan

daniolmo.jpg
EINTRACHT FRANKFURT 3 RB LEIPZIG 1

Pemain baru RB Leipzig, Dani Olmo, menjaringkan gol pertamanya buat kelab Bundesliga itu dalam perlawanan pusingan ketiga DFB-Pokal awal pagi tadi.


Olmo dikaitkan untuk menyertai Bayern Munich dan Barcelona sebelum menyertai Leipzig daripada Dinamo Zagreb dengan bayaran pendahuluan dilaporkan bernilai €20 juta (RM90.78 juta) bulan lalu.

Menerusi penampilan keduanya, pemain kebangsaan Sepanyol itu membuka akaun jaringannya ketika Leipzig tewas 1-3 kepada Eintracht Frankfurt di Arena Commerzbank.

Dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua, Olmo merapatkan kedudukan kepada 1-2 pada minit ke-68 tetapi tidak dapat menghalang kekalahan kedua Leipzig kepada Eintracht sepanjang dua minggu ini selepas turut tewas 0-2 dalam Bundesliga, 25 Januari lalu. 

"Sudah pasti kami kecewa dengan keputusan ini, kami kini perlu belajar daripada kesilapan ini dan terus berusaha keras," katanya dalam laman web rasmi pasukan.

"Kami masih bersaing dalam dua kejohanan dan mahu melakukan yang terbaik sepanjang beberapa minggu ini."

Leipzig masih bersaing hebat dalam carta Bundesliga dengan skuad kendalian Julian Nagelsmann itu berada di tangga kedua dan hanya ketinggalan satu mata di belakang Bayern selepas 20 perlawanan.

Mereka juga akan berdepan Tottenham Hotspur kendalian Jose Mourinho dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami sepatutnya mendahului lebih awal tetapi tidak menjaringkan gol," kata Nigelsmann.

"Selepas ketinggalan, amat sukar untuk kami bangkit dan bermain di Frankfurt.

"Pada ketika itu, kami tidak bermain seperti yang kami rancangkan," katanya.


Editor: Muzaffar Musa 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found