Skip to main content

Bola Sepak

Nilai Liverpool penghujung musim nanti -- Wijnaldum

georginio-wijnaldum.jpg
Georginio Wijnaldum memuji kekuatan yang dimiliki skuad Liverpool di samping percaya aktiviti kurang aktif kelab itu dalam jendela perpindahan, masih belum boleh dinilai buat masa ini.

The Reds membawa masuk pemain berpengaruh seperti Alisson dan Fabinho musim lalu sementara Virgil van Dijk menyertai pasukan dalam jendela perpindahan terdahulu tetapi mereka kelihatan senyap kali ini.

Liverpool, yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kedua, namun memenangi Liga Juara-Juara (UCL), hanya mendapatkan khidmat pemain muda, Sepp van den Berg dan Harvey Elliott, setakat ini.

Bagaimanapun, pengurus pasukan, Jurgen Klopp, percaya Liverpool memiliki skuad yang mampu sekali lagi memberi cabaran dengan kehadiran semula Alex Oxlade-Chamberlain dan Rhian Brewster, yang dibelenggu kecederaan musim lalu.

Wijnaldum bersetuju dan berasakan penilaian terhadap keputusan Liverpool untuk tidak berbelanja kali ini harus dilakukan pada penghujung musim nanti.

"Kami harus melihatnya," kata pemain kebangsaan Belanda itu kepada Sky Sports. "Kami memiliki barisan pemain berkualiti dan telah beraksi bersama selama beberapa tahun, kami sudah kuat.

"Apabila anda menandatangani pemain baru, kadang-kala mereka memakan masa untuk menyesuaikan diri. Saya, Andy Robertson, Fabinho, dan Naby telah mengharunginya. Tiada jaminan apabila anda mendapatkan pemain baru, mereka dapat beraksi bersama dalam tempoh yang singkat.

"Tetapi kami harus melihat terlebih dahulu. Terdapat pihak akan berkata, 'Anda perlu mendapatkan pemain baru' untuk menghadapi musim baru.

"Liverpool kini dibarisi pemain yang sudah pulih daripada kecederaan dan kini lebih besar berbanding musim lalu," ujarnya.

Musim Liverpool bermula dengan kekalahan menerusi penentuan penalti kepada juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dalam perlawanan Perisai Komuniti, Ahad lalu, tetapi Wijnaldum menegaskan dia menikmati persaingan di antara kedua-dua pasukan itu yang semakin berkembang.

"Saya amat menyukainya. City membuat kami beraksi dengan lebih cemerlang dan kami juga melakukan perkara sama kepada mereka. Saya berasakan ia adalah sebab kami mengumpul banyak mata dalam saingan liga."

Advertisement

Must Watch Video