Skip to main content

Bola Sepak

Nidzam tidak gusar tinggalkan pemain

nidzam-jamil.jpg
"Saya tidak pernah meragui pemain saya."

Demikian pengakuan ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, selepas dijangka akan terlepas dua perlawanan membabitkan aksi Liga Super dan pusingan ketiga Piala FA dalam tempoh seminggu ini.


Nidzam akan melepaskan tanggungjawabnya kepada pembantunya menjelang perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur di Jengka, Sabtu ini.

Ia disebabkan dia sedang mengikuti Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019-2020 di ibu negara hingga Rabu depan.

Berdasarkan tempoh itu, ia bermakna Nidzam juga akan terlepas penentuan ke suku akhir Piala FA -- menentang Selangor -- Selasa depan. 

"Saya tidak berasa ragu-ragu.

"Kepercayaan saya kepada mereka adalah 100 peratus.

"Komitmen pemain juga 100 peratus dan mereka juga sudah dimaklumkan tentang ketiadaan saya.

"Saya percaya kesemua mereka adalah profesional dan tahu tanggungjawab masing-masing," katanya.

Meskipun tumpas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Larkin, Jumaat lalu, skuad The Fighters itu tetap mempamerkan persembahan bertenaga.

Bekas pemain negara itu mengharapkan barisan pemainnya dapat mengulangi persembahan seperti itu sepanjang ketiadaannya.

"Peluang itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana kami perlu keluar daripada zon penyingkiran dengan secepat mungkin.

"Sama ada saya berada di padang atau tidak, ia bukanlah isu utama," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video