Skip to main content

Bola Sepak

Nidzam: Kemenangan bermakna buat Felda

feldakl.jpg
Ketua jurulatih Felda United, Mohd Nidzam Jamil, mengakui kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi amat bermakna bagi pasukan berkenaan untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super.

Beliau mendedahkan kemenangan tersebut hasil perancangan rapi barisan kejurulatihan memandangkan beliau menghadiri kursus kejurulatihan Lesen Profesional Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama beberapa jurulatih lain di Hotel Armada, Petaling Jaya, sejak beberapa hari lalu.

“Saya ingin berterima kasih kepada barisan kejurulatihan Felda menjaga pasukan selama beberapa hari dan mereka akan terus membuat perancangan untuk pasukan Felda, termasuk mengendalikan sesi latihan sepanjang ketiadaan saya sehingga 17 Julai ini,” katanya.

Sementara itu, Nidzam menjelaskan skuad The Fighters perlu meraih keputusan positif dalam tiga baki perlawanan liga menentang PKNP FC, Pahang dan Kedah untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

Felda United kini menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan dengan kutipan 15 mata selepas 19 perlawanan setakat ini.

Sementara itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus, mengakui kesilapan individu menjadi punca kekalahan dalam perlawanan berkenaan, namun memuji persembahan segelintir pemain yang mempamerkan aksi cemerlang.

Bekas pemain kebangsaan itu mendedahkan peluang skuad Warga Kota untuk kekal dalam Liga Super musim depan tampak sukar, namun masih menaruh keyakinan kepada barisan pemainnya untuk melakar keputusan positif dalam dua baki perlawanan menentang juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT), dan Perak.

“Realitinya memang sukar di atas kertas tapi kami kena teruskan juga dan kami mungkin mengharapkan keajaiban dalam dua baki perlawanan ini dan kami tengok apa yang akan terjadi selepas ini,” jelas Roslee.

Kuala Lumpur menghampiri zon penyingkiran ke Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan dengan kutipan 14 mata selepas 20 perlawanan setakat ini.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video