Skip to main content

Bola Sepak

Neymar bakal terlepas aksi PSG-Inter

neymar-cropped_1kltrzmho5v1w1oy7c091pbrq6.jpg
Neymar diketepikan daripada skuad Paris Saint-Germain (PSG) menjelang aksi pramusim menentang Inter Milan esok.

Bintang Brazil itu sebelum ini mendedahkan dia hampir mencapai tahap kecergasan 100 peratus selepas pulih daripada kecederaan kaki dan buku lali.

Namun, PSG mengesahkan semalam bahawa Neymar tidak akan menyertai skuad ke Macau tatkala seluruh pasukan bakal berdepan Nerazzurri.

"Presnel Kimpembe dan Neymar akan kekal di kem latihan di Shenzen untuk meneruskan latihan fizikal individu dua kali sehari bersama staf untuk melanjutkan persiapan mereka," kata wakil kelab.

Neymar dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona sambil Pengarah Sukan PSG, Leonardo, mengesahkan keinginan pemain berusia 27 tahun itu untuk berpindah.

Penggempur itu lewat melaporkan diri ke latihan pramusim bulan ini dan pihak kelab menegaskan dia akan berdepan hukuman.

Neymar tidak menyertai skuad PSG dalam dua aksi persahabatan di Jerman baru-baru ini setelah terlepas kejayaan Brazil di pentas Copa America akibat kecederaan.

Bagaimanapun, pemain baru PSG, Ander Herrera, Abdou Diallo dan Pablo Sarabia dijangka beraksi menentang Inter selepas disenaraikan dalam skuad kendalian Thomas Tuchel itu.

Selepas berdepan pasukan Serie A itu, PSG akan menentang Sydney FC sebelum aksi sumbangsih Trophee Des Champions menentang Rennes di Shenzen pada 3 Ogos ini.
 

Advertisement

Must Watch Video