Skip to main content

Bola Sepak

Navas: Saya akan tinggalkan Madrid jika Zidane mahukan

keylornavas.jpg
Penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas, berkata dia akan meninggalkan kelab itu andai ketua jurulatih, Zinadine Zidane, mengarahkannya.

Zidane berjanji akan menyelesaikan dilema penjaga gol Madrid hujung musim ini dengan Navas dan Thibaut Courtois bersaing hebat bagi merebut tempat mereka.

Juara tiga kali Liga Juara-Juara Eropah, Navas, menjadi pilihan kedua sejak ketibaan Courtois awal musim ini dan pemain kebangsaan Costa Rica itu tersenarai dalam kesebelasan utama ketika Madrid tewas 1-2 kepada Valencia, awal pagi tadi.

Ditanya mengenai masa depannya dalam sidang media selepas perlawanan, Navas berkata: "Jika jurulatih mengarahkan saya untuk pergi, itulah yang akan saya lakukan.

"Namun, saya masih memiliki baki kontrak dan pasukan saya adalah Real Madrid.

"Saya akan sentiasa mencuba untuk memberikan yang terbaik bagi meyakinkan jurulatih yang saya perlu diturunkan.

"Saya masih memiliki kontrak dan saya mahu terus berada di sini, namun tunggu sahaja apa yang akan terjadi.

"Kami perlu fokus untuk menamatkan musim ini dengan baik.

"Kami perlu melakukannya untuk maruah dan lambang ini, turun beraksi dan memenangi baki (lapan) perlawanan," katanya.

Madrid berdepan kekalahan pertama sejak Zidane kembali mengambil alih pasukan itu bagi menggantikan Santiago Solari bulan lalu -- Goncalo Guedes dan bekas pertahanan Madrid, Ezequiel Garay, memastikan kelab ibu kota Sepanyol itu berdepan kekalahan liga yang kesembilan musim ini.

Skuad kendalian Zidane itu -- yang sudah tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah -- kini di tangga ketiga liga dengan ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Barcelona.

"Ia waktu yang sukar," tambah Navas.

"Ia merupakan tahun di mana harapan kami tidak terlaksana dan kami perlu menghadapinya.

"Kami perlu menghadapi setiap saat ini dan berharap ia akan membantu kami untuk mempelajari sesuatu daripada setiap kesalahan yang kami lakukan supaya kami boleh bangkit dalam tahun-tahun akan datang," katanya.

Advertisement

Must Watch Video