Skip to main content

Bola Sepak

Navas harap kekal di Madrid

keylor-navas.jpg
Penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas, berharap dapat kekal dalam pasukan itu musim depan sambil bersedia untuk merebut posisi utama di bawah bimbingan ketua jurulatih, Zinedine Zidane.

Sejak kembali membimbing pasukan itu, Zidane kerap melakukan penggiliran penjaga gol, namun kecederaan yang menimpa Thibaut Courtois membolehkan Navas mengisi posisi utama.

Pemain kebangsaan Costa Rica itu merupakan penjaga gol utama Madrid sewaktu menjuarai tiga edisi Liga Juara-Juara Eropah secara berturut-turut di bawah bimbingan Zidane.

Bagaimanapun, Madrid kekal dikaitkan dengan penjaga gol Manchester United, David de Gea, menjelang penghujung musim ini.

Navas diturunkan ketika Madrid diikat Leganes 1-1 di Stadium Municipal de Butarque, awal pagi tadi, dan sedang merancang untuk kekal di Santiago Bernabeu andai khidmatnya diperlukan.

"Saya amat gembira dan bersyukur kepada tuhan kerana diberikan peluang untuk berada di sini," kata Navas selepas Madrid kekal memaparkan prestasi hambar dengan skuad kendalian Zidane itu hanya memenangi satu daripada tiga perlawanan liga terakhir.

"Setiap kali saya diberikan peluang untuk beraksi, saya akan melakukannya dengan sebaik mungkin.

"Saya berharap saya dapat kekal di Madrid musim depan.

"Saya masih memiliki kontrak dan kita akan lihat sama ada ia akan berubah atau tidak.

"Ia merupakan musim yang rumit buat kami.

"Kami turun dengan keinginan untuk memenangi perlawanan dan bermain sebaik mungkin, namun keputusan tidak sentiasa memihak kami.

"Kami semua sedih dengan situasi ini, ia amat rumit.

"Kami sentiasa mahukan kemenangan dan kami juga mempunyai maruah dengan rasa cinta kami untuk menyarung jersi ini lebih besar daripada segala-galanya.

"Kami perlu menuntut lebih kemenangan dan keputusan yang lebih baik daripada diri kami sendiri.

"Saya berasakan kelab ini sentiasa tertekan setiap tahun, jadi ia bukan alasan.

"Kami perlu bersedia secara mental untuk menghadapi segala situasi kerana kami adalah pemain Madrid," katanya.

Advertisement

Must Watch Video