Skip to main content

Bola Sepak

Nasib Jesus di tangan Yusri

cassio-de-jesus.jpg
Selepas penyerang import kelahiran Uruguay, Raul Tarragona, dan ketua jurulatih, Marko Kraljevic, mengucapkan selamat tinggal kepada Kelantan, kini nasib kapten, Cassio De Jesus, menjadi tanda tanya kepada penyokong setia The Red Warriors (TRW).

Jesus, yang juga bekas pertahanan Simen Padang, hampir sebulan tidak beraksi untuk Kelantan selepas mengalami kecederaan pangkal paha dalam aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Pasir Gudang, bulan lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, menyerahkan kepada jurulatih baharu, Yusri Che Lah, untuk menentukan masa depan pemain pertahanan kelahiran Brazil itu.

“Cassio (De Jesus) ini sudah lama bersama kami dan kontraknya juga di bawah KAFA. 

"Saya serahkan kepada jurulatih (Yusri) untuk menilai dan menimbangkan kedudukan Cassio nanti," ujarnya.

Sementara itu, jodoh Pengarah Teknikal TRW, Peter Jorg Steinebrunner, bersama Kelantan berakhir lebih awal apabila khidmatnya ditamatkan atas persetujuan bersama, semalam. 

Bibi Ramjani berkata keputusan melepaskan pengendali kelahiran Jerman itu dibuat kerana pihaknya tidak mahu berdepan sebarang risiko setelah mengalami krisis kewangan musim ini.

“Saya panggil Jorg (Steinebrunner) dan beritahu KAFA tidak mahu berlaku masalah tunggakan gaji (sekiranya terus mengekalkannya) pada masa depan.

“Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd tidak bayar gajinya dan saya ambil tanggungjawab menyelesaikannya. 

"Dia faham masalah yang dihadapi Kelantan sekarang," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video