Skip to main content

Bola Sepak

Napoli sentiasa jadi pilihan utama Lozano

lozanocropped_68w0802q7wco1b5w7e6ndx5io.jpg
Hirving Lozano mendedahkan menyertai Napoli menjadi keutamaannya sebaik sahaja mendengar minat daripada kelab Itali itu.

Bintang Mexico itu menikmati dua musim cemerlang bersama PSV Eindhoven dalam saingan Eredivisie, menyumbat 34 gol dan menghasilkan 16 bantuan jaringan, sekali gus menarik minat Napoli untuk mendapatkannya dengan nilai EUR40 juta (RM186 juta).

Napoli melengkapkan perpindahan Lozano, Jumaat lalu dan pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan telah menandatangani kontrak lima tahun untuk  bergelar pemain termahal kelab itu.

Pemain sayap lincah itu menjadi sasaran kelab Serie A tersebut sepanjang jendela perpindahan tatkala Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, tidak menyembunyikan keinginan untuk mendapatkan pemain berbakat itu.

Lozano -- yang digelar 'Chucky' hasil inspirasi daripada filem seram kanak-kanak kerana perangainya yang suka bersembunyi di bawah katil rakan sepasukan dan menakutkan mereka -- berkata dia tidak ragu-ragu untuk memilih destinasi baru.

"Banyak perkara berlaku tetapi sejak Napoli menunjukkan minat, mereka adalah pilihan pertama saya," katanya.

"Syukur kepada Tuhan, segalanya berjalan lancar dan kini saya hanya fikir untuk bekerja.

"Saya telah menyaksikan banyak perlawanan Serie A dan ramai pemain hebat pernah beraksi di sini. Keutamaan saya adalah memberikan komitmen 100 peratus buat pasukan. Napoli adalah kelab hebat dan kami harap dapat melakukan perkara yang terbaik.

"Banyak sebab yang mendorong saya ke sini, termasuk pengurus, Carlo Ancelotti, kemudian pasukan, bandar serta barisan juara yang beraksi bersama kami. Peminat yang rapat dengan pasukan juga memainkan peranan.

"Saya telah melawat bandar di sini. Ia cantik dan memukau saya. Peminat juga sangat bagus. Juventus adalah kelab yang hebat tetapi sasaran kami adalah menjuarai liga.

"Saya sangat gembira untuk tiba di kelab yang diketuai oleh pengurus berpengalaman seperti Ancelotti. Saya dalam pasukan yang inginkan kemenangan. Saya mahu menang dan akan memberikan yang terbaik buat pasukan yang telah cemerlang dalam beberapa tahun terakhir.

"Aksi di sini berbeza. Ia lebih bagus, pantas dan sukar berbanding Eredivisie. Jelas sekali anda perlu bekerja dan nasihat pengurus sangat penting. Saya di sini untuk meningkatkan mutu permainan," katanya lagi.

Lozano dilihat sebagai salah seorang pemain paling berbakat Mexico selepas Hugo Sanchez yang menyinar bersama Atletico Madrid, Real Madrid serta pasukan kebangsaan ketika era 70, 80 dan 90-an.

Produk pasukan muda Pachuca itu akan menjadi pemain Mexico pertama yang beraksi untuk Napoli tetapi dia tidak terbawa-bawa dengan perbandingannya dengan Sanchez.

"Dia adalah idola buat warga Mexico," katanya.

"Saya harap dapat menjadi sepertinya atau lebih baik tetapi saya harus bekerja keras dan mengejar keputusan yang dinginkan. Saya rasa gembira menjadi pemain pertama Mexico yang menyarung jersi Napoli."

Lozano akan menggunakan jersi nombor 11 di Stadium San Paolo.
 

Advertisement

Must Watch Video