Skip to main content

Bola Sepak

Nagelsmann puji gaya permainan Leipzig selepas benam Spurs

juliannagelsmann.jpg
Julian Nagelsmann memuji RB Leipzig kerana mengekalkan gaya permainan mereka ketika menyingkirkan Tottenham Hotspur daripada Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Gol berganda Marcel Sabitzer dalam babak pertama dan jaringan lewat permainan Emil Forsberg menyaksikan Leipzig menewaskan Spurs 3-0 di Arena Red Bull untuk ke suku akhir dengan agregat 4-0.

Nagelsmann gembira pasukannya dapat mengekalkan corak permainan yang dikehendakinya dalam perlawanan kedua pusingan 16 itu.

"Kami pasukan yang muda dan kali pertama beraksi dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Kami menghadapinya tanpa perasaan gemuruh," kata ketua jurulatih itu kepada UEFA.com.

"Tetapi perkara paling luar biasa ialah pasukan ini fokus untuk bermain dengan cara Leipzig dan untuk mengekalkannya dalam pusingan berikutnya adalah perkara yang lebih penting.

"Kami tidak terlalu terikut-ikut dengan cara Tottenham, kami bermain dengan cara kami dan menamatkannya dengan hebat," katanya.
Pada usia 32 tahun dan 231 hari, Nagelsmann menjadi pengurus termuda untuk melepasi pusingan kalah mati kejohanan itu.

Bekas pengendali Hoffenheim itu berasakan Leipzig pasukan yang lebih layak menang berbanding lawan yang dikendalikan oleh Jose Mourinho berkenaan.

"Saya amat gembira kerana kami layak ke pusingan berikutnya tetapi lebih gembira kerana kami layak untuk mendapatkannya.

"Kami menjaringkan empat gol dan tidak dibolosi.

"Kami pasukan yang lebih baik daripada Tottenham dan pasukan yang lebih baik hari ini," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video