Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Nafuzi cari jalan perkemas permainan Kedah Darul Aman

kedah-darul-aman-2023.jpg
Kejayaan mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super 2023 dengan memungut enam mata tidak boleh meletakkan Kedah Darul Aman (KDA) dalam keadaan selesa kerana masih banyak yang perlu diperbaiki.

Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain, mengakui perjalanan liga masih panjang malah kejayaan menang tipis 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman pada malam tadi yang menyaksikan corak permainan belum mencapai tahap yang diharapkannya.

Menurutnya, Sang Kenari yang sebelum ini menjinakkan Perak FC 1-4 pada aksi pertama Liga Super sebelum meneruskan momentum kemenangan ke atas TFC perlu terus meningkatkan lagi prestasi menjelang aksi seterusnya menerima kunjungan PDRM pada malam Sabtu.

"Masih terlalu awal menentukan hala tuju permain (dan pasukan pada Liga Super 2023). 

"Ada 22 aksi lagi, masih jauh perjalanan. 

"Tapi walaupun dua perlawanan kami dapat enam mata, bagi saya sendiri ini bukan yang saya nampak dan apa yang ingin dipersembahkan.

"Tapi tidak berlaku sepanjang masa. Ada di sesetengah waktu perlawananan sahaja, kita kena perbaiki lagi benda itu," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.



Jaringan Fazrul Danel Nizam di penghujung separuh masa kedua perlawanan menghadiahkan tiga mata berharga kepada KDA FC selepas kedua-dua pasukan pasukan sebelum itu buntu untuk mendapatkan gol.

Mengulas lanjut, Nafuzi mengakui pertukaran beberapa pemain dalam separuh masa kedua memberi kelebihan kepada pasukannya untuk mengubah taktikal permainan.

"Kita tahu pemain mampu bermain lebih baik dan saya tahu kemampuan pasukan ini sebab kesebelasan pertama sudah penat.

"Mungkin perkara ini disebabkan persekitaran yang berbeza daripada peminat, sesetengah pemain tak merasai suasana sebegini dan pemain masih gugup," katanya menghargai kehadiran 21,700 penyokong setia KDA FC yang memenuhi stadium.

Ujarnya, kemenangan kedua yang diperolehi itu akan meningkatkan lagi keyakinan pasukannya terutama pemain muda.

Dalam perlawanan tersebut, Amirbek Juraboev dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas mempamerkan aksi terbaik sehingga berjaya membantu Sang Kenari keluar sebagai pemenang.

Kredit: Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video