Skip to main content

Bola Sepak

Mustahil turunkan empat penyerang -- Sarri

cristiano-ronaldo.jpg
Pengendali Juventus, Maurizio Sarri, menolak cadangan untuk menurunkan empat penyerang dan memberikan amaran mungkin perlu mengetepikan Cristiano Ronaldo.

Sarri bercakap selepas pasukan kendaliannya itu mengatasi Fiorentina 3-0 -- dua jaringan daripada sepakan penalti yang disempurnakan Ronaldo mengukuhkan kedudukan mereka dalam Serie A.

Matthijs de Ligt menanduk masuk gol ketiga pada penghujung permainan dalam perlawanan yang menyaksikan Paulo Dybala sebagai pemain gantian, dengan Sarri memilih Douglas Costa, Ronaldo dan Gonzalo Higuain untuk mengisi jentera serangan The Old Lady.

Sarri pada permulaan musim menyatakan mahu menurunkan tiga penyerang dengan lebih kerap dan telah melakukannya.

Bagaimanapun, perbincangan untuk menurunkan empat penyerang sekali gus, telah ditolak bekas pengendali Chelsea itu.

"Kami mempunyai ramai penyerang yang berada di tahap luar biasa," kata Sarri. "Terdapat banyak jalan penyelesaian tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan."

Bercakap mengenai Costa, Sarri berkata, "Saya lebih gemar untuk memilihnya kerana Costa banyak beroperasi di bahagian sayap. Apabila anda mengetepikan pemain seperti Dybala, anda perlu menghadapi situasi yang kurang selesa dan diberikan kritikan. Tetapi saya perlu menanganinya dan mencari keseimbangan."

Ditanya mengenai kemungkinan menurunkan empat penyerang sekali gus, Sarri berkata, "Anda perlu mengorbankan beberapa kualiti daripada pemain-pemain ini, seperti Ronaldo yang seharusnya beraksi di bahagian sayap. Ia akan menjadi satu pembaziran."



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found