Skip to main content

Bola Sepak

Modric? Messi pemain terbaik dunia -- Enrique

messi-cropped_1wxgnrf70ctdi1k0oatyzhvqde.jpg
Pengendali Sepanyol, Luis Enrique, muncul individu terbaru yang melontarkan pendapat mengenai anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tetapi menegaskan bahawa bintang Barcelona yang tidak tersenarai, Lionel Messi, sebagai pemain terhebat dunia.

Pada minggu lalu, FIFA mengumumkan tiga nama yang disenarai pendek untuk anugerah itu tatkala Luka Modric, Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah menjadi pilihan.

Ronaldo dan Modric memainkan peranan utama dalam kejayaan Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut musim lalu manakala kapten Croatia itu meraih anugerah Bola Emas Piala Dunia sambil Salah menikmati musim memukau dengan memecahkan beberapa rekod bersama Liverpool.

Namun, banyak pihak yang keliru apabila nama Messi tidak tersenarai walaupun dia menjadi nadi utama Barca dalam memenangi LaLiga dan Piala Raja Sepanyol selain mempamerkan prestasi individu yang memukau.

Enrique, yang ditemui ketika bercakap mengenai perlawanan Sepanyol menentang Croatia bagi aksi Liga Negara-Negara UEFA, menyifatkan Modric sebagai satu bakat yang hebat tetapi Messi berada satu tahap lebih bagus.

"Jika bercakap mengenai pemain-pemain Croatia, saya akan berbincang tentang Modric dan Ivan Rakitic kerana kedua-duanya layak meraih anugerah individu," kata Enrique.

"Namun, seandainya perlu membincangkan perihal pemain terbaik dunia, saya akan nyatakan mengenai Messi yang berada satu tahap lebih tinggi berbanding semua pemain."

Sepanyol menuju ke aksi kedua awal pagi esok selepas menundukkan England 2-1 di Wembley dalam perlawanan pertama kelmarin, di mana ia menjadi ujian pertamanya sejak dilantik selaku pengendali La Roja.

Dia pantas mengenal pasti kesilapan yang dilakukan dalam tempoh awal yang singkat apabila tidak menyenaraikan Iago Aspas sebelum memanggilnya pada saat-saat akhir untuk menggantikan Diego Costa yang mengalami kecederaan.

"Anda semestinya tahu apa yang dijangkakan daripada seseorang dan apabila sesi latihan menunjukkan sesuatu yang berbeza, ia memeranjatkan anda," tambah Enrique.

"Saya sedar akan kesilapan saya. Saya rasa Aspas mengharungi aksi yang bagus ketika menentang England. Dia berlatih dengan baik ketika latihan dan saya terbuka untuk sebarang perubahan."

Advertisement

Must Watch Video