Skip to main content

Bola Sepak

Modric kekal di Real Madrid, tegas Lopetegui

modric-2.jpg
Real Madrid tidak berniat membenarkan perancang, Luka Modric, meninggalkan kelab itu, kata pengurus, Julen Lopetegui.

Dikenali sebagai salah seorang pemain tengah terbaik di dunia ketika ini, Modric membantu Croatia mara ke perlawanan akhir Piala Dunia di Russia sebelum tewas 2-4 kepada Perancis, bulan lalu.

Terdapat cadangan bahawa Madrid bersedia menyahut tawaran ke atas pemain berusia 32 tahun itu, dengan Inter disebut-sebut sebagai kelab yang berpotensi merekrutnya. 

Bagaimanapun, bercakap selepas kemenangan 3-1 ke atas Juventus dalam kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Maryland, sebentar tadi, Lopetegui menegaskan bahawa bekas bintang Tottenham Hotspur itu tidak akan meninggalkan Santiago Bernabeu.

"Saya fikir presiden sudah menjelaskannya, saya tidak fikir ada lebih banyak lagi perkara untuk diulas," katanya dalam sidang akhbar.

"Dia sudah membuat kenyataan ringkas dan jelas. Luka Modric adalah pemain luar biasa dan kami sedang menantinya dengan tangan terbuka.

"Saya sudah berbincang dengan Modric selepas dia mengharungi Piala Dunia yang hebat.

"Kami akan berjumpanya kembali pada 8 Ogos dan kami akan lihat sama ada dia boleh diturunkan pada 15 Ogos nanti untuk aksi sulung kami," katanya merujuk kepada pemain itu yang menangguhkan masa untuk melaporkan diri bagi menghadapi kejohanan itu.

"Apa yang saya katakan kepadanya adalah peribadi tetapi dia adalah seorang pemain yang saya gemar untuk disaksikan dan saya gembira untuk memilikinya. Pada akhirnya, saya fikir dia akan berasa sangat gembira untuk bersama pasukan ini. 

"Dia pemain kami. Kami dapat menikmati sentuhan yang diperagakannya dan kami akan terus menyaksikan kelibatnya."

Marco Asensio, yang menjaringkan dua gol ketika Madrid bangkit untuk membenam jaguh Serie A itu, menawarkan penilaian yang menggalakkan mengenai kemajuan yang ditampikan pasukan itu di peringkat awal kendalian pengurus baru berkenaan.

"Lopetegui menanamkan ideanya dan kami menerimanya dengan baik," katanya.

"Kami suka gaya diterapkannya. Meskipun ada perkara yang perlu ditingkatkan, kami sedang bersiap sedia untuk menghadapi Piala Super UEFA melawan Atletico. Ia merupakan trofi pertama yang diburu musim ini."

Begitupun, Lopetegui enggan mengulas sama ada Madrid harus cuba menandatangani pemain berkaliber seperti Neymar atau Eden Hazard sebagai pengganti Cristiano Ronaldo.

"Saya tidak akan bercakap tentang pemain yang bukan milik Real Madrid. Apa yang saya boleh katakan ialah Marco dan yang lain yang anda sebutkan beraksi sangat bagus hari ini," katanya.

"Marco cemerlang di posisi yang bukan kebiasaannya. Dia melakukannya dengan baik seperti yang dilakukan oleh pemain lain dan secara keseluruhannya, saya sangat gembira."

Advertisement

Must Watch Video