Luka Modric berharap Kylian Mbappe akan menyertainya di Real Madrid musim depan pada ketika spekulasi mengenai perpindahan pemain itu kian bertiup kencang.

Kontrak Mbappe bersama Paris Saint-Germain (PSG) akan tamat pada penghujung Jun depan dan pemain berkenaan sedang hangat dikaitkan untuk menyertai Real Madrid.

Penyerang prolifik berusia 23 tahun itu turut disenaraikan PSG bagi perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Los Blancos awal pagi esok dan kelihatan akan diturunkan walaupun mengalami kecederaan ketika sesi latihan semalam.

Mbappe menjaringkan gol tunggal ketika PSG menang 1-0 dalam perlawanan pertama bulan lalu, di mana sepakan penalti Lionel Messi turut diselamatkan penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois.

Kontrak Modric bersama Madrid juga sudah hampir ke penghujung tetapi sudah meluahkan keinginannya untuk kekal bersama pendahulu LaLiga itu dan pemenang Anugerah Ballon d'Or 2018 itu berkata mana-mana pemain di dunia pasti mahukan Mbappe selaku rakan sepasukan.

"Kami mahu bermain dengan pemain hebat, Kylian merupakan antaranya. Sudah pasti saya mahu bermain dengannya, ayuh lihat apa yang akan berlaku.

"Amat sukar untuk bercakap mengenai pemain lain, kelab lain pasti akan marah, ia boleh ditafsirkan secara buruk tetapi saya tidak fikir ada pemain yang tidak mahu dia berada dalam pasukan mereka," katanya.