Skip to main content

Bola Sepak

Modric amat penting untuk Inter -- Spalletti

modric.jpg
Luka Modric akan menjadi nadi kepada Inter Milan, kata ketua jurulatih, Luciano Spalletti, ketika kelab Serie A itu terus dikaitkan dengan bintang Real Madrid berkenaan. 

Modric membantu Madrid untuk memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara (UCL) dalam tempoh lima tahun yang lalu tetapi laporan mengatakan dia akan mengikuti jejak Cristiano Ronaldo ke Itali.

Presiden Madrid, Florentino Perez, berkata Modric tidak akan dibenar meninggalkan Santiago Bernabeu kecuali ada kelab yang berminat memenuhi klausa pelepasannya yang ditetapkan pada €750 juta (RM3.5 bilion).

Bagaimanapun, Spalletti mendedahkan Inter sedang berusaha untuk memancing pemain berusia 32 tahun itu yang memenangi Kasut Emas Piala Dunia 2018 selepas memberi inspirasi kepada Croatia untuk mara ke perlawanan akhir.

"Kelab telah menunjukkan bahawa mereka masih tidak berputus asa dan serius," kata Spalletti kepada wartawan.

"Kami cuba meletakkan segala sesuatu di tempat yang kami anggap betul.

"Sudah pasti pemain berkaliber seperti itu penting bagi sesiapa sahaja, apatah lagi bagi kami.

"Saya terus memasang impian bersama peminat tetapi kami mempunyai segala-galanya yang diperlukan untuk menangani apa yang berlaku," kata Spalletti selepas Inter menamatkan empat perlawanan pra-musim tanpa kemenangan dengan menundukkan Lyon di Lecce, awal pagi tadi. 

Lautaro Martinez menjaringkan gol tunggal dalam pertemuan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) itu dan jurulatih Inter berkenaan memberi bayangan bagaimana peggempur itu mampu membentuk gandingan bersama muka baru, Radja Nainggolan, serta ketua pasukan, Mauro Icardi.

"Dia boleh memainkan peranan di semua bahagian tengah dengan kualiti dan kekuatan hebat," kata Spalletti tentang Nainggolan yang tidak diturunkan untuk menghadapi Lyon.

"Anda dapat lihat beberapa gerakan dalam permainan dengan Icardi berada di bahagian hadapan manakala Lautaro memainkan peranan sebagai pemain nombor 10 dan Radja pula akan berada di bahagian tengah.

"Akan ada banyak perlawanan dan akan ada ruang untuk semua pemain."

Advertisement

Must Watch Video