Skip to main content

Bola Sepak

Modric akan kekal di Real Madrid -- Mijatovic

modric.jpg
Luka Modric mahu kekal di Real Madrid musim depan di sebalik pasukan itu dijangka akan berwajah baru, kata bekas penyerang, Predrag Mijatovic.

Madrid -- terkandas di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) -- dijangka menamatkan saingan LaLiga di tempat ketiga berikutan kekalahan 0-1 di Rayo Vallecano.

Modric menempuhi prestasi buruk di sebalik hangat dikaitkan dengan perpindahan manakala Paul Pogba dan Eden Hazard menjadi tajuk utama untuk membarisi skuad berwajah baru itu.

Mijatovic -- yang memenangi gelaran LaLiga edisi 1997 dan UCL 1998 ketika berkhidmat di Santiago Bernabeu -- berkata pemain berusia 33 tahun tersebut yang sebelum ini dikaitkan dengan Inter akan kekal di ibu kota Sepanyol itu. 

"Dia akan kekal," kata Mijatovic kepada El Larguero. "Saya telah bercakap dengannya dan ia adalah salah satu kempen paling buruk yang pernah dilaluinya. 

"Dia adalah pemain yang komited dan Modric bukanlah masalahnya tetapi bukan mudah untuk mengulangi prestasinya dengan muka baru yang akan tiba.

"Pasaran telah berubah, semua kelab tahu mereka perlu menandatangani pemain dan menaikkan harga. Dia seorang pemain yang profesional dan dia gembira, dia turut menderita seperti orang lain."

Tonggak Manchester United, Pogba, dan pemain Chelsea, Hazard, dilaporkan meniti landasan untuk menyertai Madrid manakala penggempur Eintracht Frankfurt, Luka Jovic, turut berada di bawah radar kelab itu.

Bagaimanapun, wujud keraguan tentang masa depan Gareth Bale di bawah kendalian Zinedine Zidane, termasuk pemain veteran, Marcelo dan Isco.

"Tindakan Zidane begitu jelas dalam musim pertamanya. 

"Dia tidak menyukai permainan atau keadaan ketika itu dan kini dia akan dilanda kebimbangan tentang apa yang perlu dilakukannya pada musim depan dalam mencari penyelesaian buat Bale selain hakikat bahawa untuk membentuk sebuah pasukan yang dihajatinya bukan mudah," kata Mijatovic.

"Ia bukan mudah buatnya untuk membuat keputusan kerana ada sesetengah pemain ini telah menghadirkan banyak kegembiraan. 

"Zidane berdepan tugas besar untuk sekali lagi memotivasikan mereka, saya bersikap pesimis kerana untuk membentuk sebuah pasukan baru bukannya mudah."

Mengenai Marcelo, Mijatovic menambah: "Dia menempuhi musim yang rumit. 

"Mereka mempunyai keraguan besar tentangnya. Marcelo merupakan seorang pemain yang boleh memulihkan prestasinya dan ia adalah tugas yang sukar. Anda perlu menunjukkan kasih sayang terhadapnya. 

"Zidane perlu membereskan banyak kerja terhadap pemain utama musim panas ini."





 

Advertisement

Must Watch Video