Penolong jurulatih Manchester City, Rodolfo Borrel, meninggalkan pasukan juara 'treble' itu untuk menjawat tugasan sebagai pengarah sukan kelab Liga Utama Amerika Syarikat (MLS), Austin FC.
Individu berbangsa Sepanyol itu menyertai City daripada Liverpool pada 2014 sebagai pengarah teknikal global sebelum dilantik ketua jurulatih akademi dan kemudian menyertai pasukan kejurulatihan Pep Guardiola.
Borrel dinamakan penolong pengurus City menjelang musim lalu, di mana mereka kemudian memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA tetapi dia kini menjadi leftenan kedua Guardiola meninggalkan pasukan itu selepas Enzo Maresca dilantik sebagai pengurus Leicester City awal bulan ini.
Pengarah Bolasepak Austin City, Txiki Begiristain, berkata: "Dia telah memainkan peranan yang signifikan buat pencapaian kelabnya sepanjang sembilan tahun ini.
"Pengurus kami sering bercakap mengenai betapa pentingnya peranan staf kejurulatihan dalam membantunya dan pasukan untuk mencapai apa yang kami ada ketika ini.
"Rodolfo juga sudah pasti menjadi sebahagian daripadanya sepanjang dia di Manchester City.
"Saya amat yakin dia akan menjadi aset besar buat Austin FC dan bola sepak di Amerika Syarikat," katanya.
Muzaffar Musa
Sat Jul 01 2023