Skip to main content

Bola Sepak

Misi satu gol dilunaskan -- Paunovic

kelantan-vs-sabah.jpg
Sabah hanya memerlukan satu jaringan bagi menyamakan kedudukan secara agregat untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2018 dan misi itu berjaya apabila mereka menumpaskan Kelantan 1-0 di Stadium Likas dalam aksi suku akhir kedua, malam tadi. 

Sebelum perlawanan bermula, Kelantan membawa kelebihan gol setelah menang 2-1 di Kota Bharu, 22 September lalu.

Namun, Sabah masih optimis untuk pertemuan suku akhir kedua ini memandangkan mereka memiliki kelebihan jaringan tempat lawan, begitu juga sokongan padu penyokong tempatan.

Awal permainan menampakkan Kelantan lebih menyerlah dengan kerap menguji gawang Sabah, antaranya pada minit kedua apabila Khairul Rizam Che Soh hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Sabah, namun gagal menyempurnakan peluang itu.

Sebaliknya, Sabah yang mendapat peluang terhidang yang berpunca daripada sepakan penjuru apabila tandukan pemain Sabah, Maxsius Musa, terkena tangan pertahanan pelawat dan pengadil tidak teragak-agak untuk menghadiahkan penalti.

Rodoljub Paunovic mudah untuk menyepak masuk gol pertama pada minit ke-31 untuk menyamakan kedudukan secara agregat 2-2.

Permainan semakin rancak pada baki babak berkenaan apabila kedua-dua pasukan saling mengasak.

Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penyerang import, Christiano Santos, dilayangkan kad merah kerana mengasari kapten Sabah, Rawilson Batuil.

Insiden itu tidak melemahkan semangat Kelantan untuk mencari gol dengan peluang terbaik hadir menerusi tandukan Shafiq Shaharuddin, namun ia sekadar menggegar palang, lantas membuat skuad muda Kelantan kempunan untuk mara. 

"Kami sememangnya memburu satu jaringan dari awal sehingga tamat permainan. 

"Saya mengidam untuk menjaringkan gol dan memutuskan untuk mengambil sepakan penalti tersebut dan kami ke separuh akhir," ujar penyerang Sabah, Paunovic.

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, berkata: "Kami telah cuba sehabis baik. 

"Saya mewakili rakan sepasukan meminta maaf kepada semua kerana tidak dapat ke peringkat seterusnya."
 

Advertisement

Must Watch Video