Skip to main content

Bola Sepak

Misi ke 'round 16' jumpa Jepun bermula

harimau-malaya-2.jpeg
Hari yang dinanti sudah tiba, perjuangan Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia 2023 di Qatar secara rasminya bermula malam ini apabila turun bertemu Jordan untuk perlawanan pertama kumpulan E di Stadium Al-Janoub.

Skuad negara yang mengakhiri penantian layak secara merit ke Piala Asia selepas 43 tahun tampil selaku pasukan underdog bertemu Jordan dengan sepak mula perlawanan pada jam 8.30 malam waktu tempatan dan 1.30 pagi waktu Malaysia pada Selasa.

Berdasarkan rekod pertembungan kedua-dua pasukan sejak 2009 menyaksikan Malaysia tewas dua kali dan seri sekali daripada tiga perlawanan terakhir.

Terikat tanpa jaringan di tempat lawan pada 2009, skuad negara kecundang 0-1 di laman sendiri pada 2019 sebelum menerima nasib sama dengan kekalahan 0-4 di Amman pada 2021, yang merupakan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan.

Malah, ranking dunia juga tidak meletakkan Malaysia sebagai pasukan pilihan kerana menghuni kedudukan ke-130 dunia berbanding Jordan selaku pasukan ke-87 dunia. 

Dua faktor itu jelas menunjukkan ranjau berliku sebenarnya menanti Harimau Malaya.

Namun, prestasi skuad negara sejak kebelakangan ini tampak menghadirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu membuka langkah kanan sekali gus mencerahkan peluang mara ke pusingan 16 buat kali pertama selepas empat edisi penyertaan.

Difahamkan, skuad negara menyasarkan untuk mengutip empat mata dengan satu kemenangan dan satu keputusan seri membabitkan pertemuan menentang Jordan atau Bahrain dan realistik tiada pungutan mata bertemu Korea Selatan berdasarkan reputasi hebat lawan.

Perkiraan itu dipercayai mampu menjadikan Malaysia sekurang-kurangnya sebagai empat pasukan terbaik di tangga ketiga sekali gus berpeluang untuk membuat perhitungan dengan Jepun yang diramal muncul juara kumpulan D.

Semboyan sudah dibunyikan, ayuh Harimau Malaya lakar sejarah di bumi Doha!
 

Advertisement

Must Watch Video