Skip to main content

Bola Sepak

MISC-MIFA lantik ASP sebagai pengurus elak berlaku rasuah

miscmifa29118.jpg
Juara Piala FAM 2016, MISC-MIFA, melantik seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) sebagai pengurus pasukan bagi memastikan tiada lagi gejala rasuah melanda skuad itu dalam cabaran Liga Perdana musim ini.

Penampilan sulung pasukan itu dalam Liga Perdana musim lalu dicemari dengan isu rasuah.

Ia menyaksikan tiga pemainnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dalam skandal mengatur perlawanan. 

Enggan episod sama berulang, MISC-MIFA membariskan pemain dan jurulatih berwibawa musim ini selain pengurus, K. Rajendran, yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kalau kamu mahu bermain dengan apa yang kami bagi, kamu bermain. Kalau fikir rasuah, maaf saya tidak akan berdiam diri. Saya akan pastikan mereka tidak akan bermain lagi selepas ini," kata Presiden MISC-MIFA, Datuk T. Mohan. 
 
MISC-MIFA, yang meletakkan sasaran layak ke Piala Malaysia musim ini, menyandarkan harapan kepada trio berpengalaman, bekas pemain Kelantan, S. Subramaniam; bekas pemain Perak, Wan Syukri Wan Ahmad, dan bekas pemain PKNS FC, P. Rajesh.

"Saya tidak rasa sebarang tekanan untuk melaksana tugas dengan MISC-MIFA. Saya rasa yakin dengan pemain yang kami dapat kumpulkan untuk musim baru ini.

"Saya juga yakin tahun ni kami akan buat sesuatu lebih baik daripada musim lepas," kata jurulatihnya, K. Devan.

Sementara itu, Subramaniam yang juga kapten pasukan berkata: "Memang besar tanggungjawab yang diberikan pihak persatuan. Saya harap tanggungjawab ini dapat dilakukan dengan jayanya."

MISC-MIFA semalam melancarkan jersi baru pasukan untuk musim 2018 dengan majlis itu disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, di Subang Jaya.

Advertisement

Must Watch Video