BOLA SEPAK
Mino Raiola meninggal dunia pada usia 54 tahun
Ejen bola sepak terkemuka, Mino Raiola, meninggal dunia pada usia 54 tahun, demikian disahkan keluarganya lewat malam tadi.
Raiola antara ejen bola sepak terkenal dan merupakan wakil kepada nama-nama besar seperti Paul Pogba, Erling Haaland dan Zlatan Ibrahimovic.
Dia dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Milan dan laporan mengenai kematiannya telah menjadi bualan media-media Itali sejak Jumaat lalu walaupun spekulasi itu dinafikan jurucakapnya.
Iklan
Bagaimanapun, satu kenyataan yang dikeluarkan keluarga Raiola malam tadi mengesahkan pemergian ejen bole sepak berkenaan.
Kenyataan yang dikeluarkan dalam laman Twitter rasmi Raiola itu berkata: "Kesedihan terbesar terpaksa kami kongsikan dengan pemergian ejen bola sepak yang paling luar biasa dan mengambil berat pernah ada.
"Mino telah berjuang sehingga ke akhirrnya dengan kekuatan sama yang diusahakannya ketika rundingan mempertahankan pemain-pemainnya, Mino membuatkan kita berbangga dan tidak pernah menyedarinya.
"Mino menyentuh terlalu banyak jiwa sepanjang hidupnya dan melakar sejarah baru dalam bola sepak moden. Kehadirannya tidak akan pernah dilupakan.
"Misi Mino untuk menjadikan bola sepak sebagai tempat lebih baik buat pemain akan diteruskan dengan semangat yang sama.
"Kami mengucapkan terima kasih buat semua orang atas sokongan yang diterima sepanjang waktu sukar ini dan memohon agar privasi keluarga dan rakan, yang sedang berada dalam kesedihan ketika ini, dapat dihormati."
Must-Watch Video