Skip to main content

Bola Sepak

Milan yakin masih di landasan yang betul ke saingan Eropah

montella-020517.jpg
Vincenzo Montella percaya AC Milan masih di landasan yang betul untuk mencapai sasaran Serie A mereka sungguhpun tersentak di Crotone dalam usaha mereka untuk layak ke saingan Eropah, hujung minggu lalu. 

Gabriel Paletta mengikat kedudukan 1-1 selepas Marcello Trotta memberikan tuan rumah yang diancam penyingkiran itu gol pendahuluan di Stadio Ezio Scida, manakala Milan Juraj Kucka dibuang padang dalam masa kecederaan, iaitu kad merah ketiganya musim ini.

Skuad asuhan Montella itu yang mengalami kekalahan mengejut kepada Empoli hujung minggu lalu -- hanya menang satu daripada lima perlawanan terakhir mereka dan lima mata di belakang pasukan di tanggan kelima, Atalanta -- sebaliknya ketua jurulatih itu mengetepikan kebimbangan terhadap prestasi Milan.

"Pasukan ini mempunyai kualiti yang lebih baik di kawasan lawan," kata Montella. "Tetapi kami perlu terus bekerja, membina dan melihat kepada perlawanan seterusnya.

"Pasukan ini telah menunjukkan mereka dahagakan kejayaan, mereka percaya dengan kelayakan Liga Europa dan merupakan kumpulan yang bersatu-padu.

"Kami di landasan sebenar untuk mencapai cita-cita kami, Crotone sedang mempamerkan prestasi Liga Juara-Juara buat masa ini."

Milan mengambil masa selama 36 minit untuk mencipta peluang pertama perlawanan dan Montella mengakui pasukannya lambat panas tetapi hasilnya boleh menjadi lebih teruk lagi apabila dua lagi gol daripada Trotta dibatalkan kerana ofsaid.

"Kami terjejas dalam tempoh suku pertama perlawanan," katanya lagi. "Dalam separuh kedua, permainan kami mula berkembang.

"Kami tidak mencipta banyak peluang kerana Crotone lebih banyak berkubu di tempat sendiri -- mereka mungkin diarahkan berbuat demikian tetapi dari segi sikap dan keinginan pemain, saya tidak mempunyai apa-apa kekesalan. 

"Cuma apa yang mengecewakan adalah keputusan.

"Kami masih di landasan yang betul di sebalik prestasi kedua-dua perlawanan terakhir. 

"Kami telah belajar dan tidak mustahil kehilangan mata seperti ini. Tahniah kepada Crotone."

Advertisement

Must Watch Video