Skip to main content

Bola Sepak

Milan kurang perwatakan tanpa Ibrahimovic -- Capello

ibrahimovic.jpg
AC Milan kekurangan perwatakan apabila Zlatan Ibrahimovic tidak beraksi, kata Fabio Capello.

Penyerang itu tidak dapat diturunkan ketika Milan terikat 1-1 dengan Hellas Verona di San Siro kelmarin kerana tidak sihat.

Verona beraksi dengan 10 pemain selepas Sofyan Amrabat dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan berbahaya ke atas Samu Castillejo pada 20 minit terakhir tetapi skuad Rossoneri itu gagal menjaringkan gol kemenangan.

Capello, yang memenangi Scudetto bersama kelab itu pada 1979 dan membimbing mereka memenangi empat kejuaraan liga dan satu gelaran dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dalam era 90-an, berasakan hanya Ibrahimovic pemain yang mempunyai perwatakan yang mencukupi dalam kelab itu.

"Dia pemain yang penting, ia mempengaruhi keseluruhan pasukan. Apabila dia ada di sana, dua pertahanan akan fokus kepadanya," katanya kepada Radio Anch'Io Sport.

"Saya dapat melihat skuad Milan yang kembali menjadi tidak berani di San Siro.

"Apabila Ibrahimovic ada di sana, dia melakukan perkara berbeza.

"Tetapi ia bukan salah (pengurus, Stefano) Pioli.

"Pemain turun dengan perasaan takut dan ia bermakna mereka tidak mempunyai perwatakan untuk mewakili Milan," katanya.

Juventus, yang kini mendahului Serie A, berkelebihan tiga mata di depan Inter Milan dalam usaha mereka untuk meraih kejuaraan kesembilan berturut-turut musim ini.

Lazio pula ketinggalan dua mata di belakang Inter tetapi Capello percaya pasukan itu tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk bersaing dengan Juve dan Inter sehingga ke penghujung musim.

"Inter menambah ramai pemain ke dalam skuad mereka yang tidak dapat melakukan sebarang perubahan seperti yang dilakukan dua penyerang mereka.

"Tetapi mereka boleh memberikan (Antonio) Conte tenaga yang lebih segar sehingga penghujung musim ini.

"Lazio tidak memilikinya.

"Mereka adalah dua pasukan yang mencuba untuk memenangi kejuaraan dan ini adalah perkara yang amat penting.

"Juventus juga perlu berwaspada," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found