Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Milan kekal underdog rebut Scudetto -- Pioli

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pioli.jpg
SALERNITANA 2 MILAN 2 

Stefano Pioli menegaskan bahawa tiada siapa menjangkakan Milan akan memenangi kejuaraan Serie A musim ini selepas mereka terpaksa akur seri 2-2 di Salernitana. 


Rossoneri melepaskan peluang berharga untuk mengungguli persada liga dengan empat mata di depan Inter dan mujur mereka tidak mengalami kekalahan mengejut menerusi jaringan penyamaan Ante Rebic pada minit ke-77.

Segalanya bermula dengan baik buat pendahulu itu di Stadio Arechi, di mana jaringan Junior Messias memberi mereka kelebihan seawal minit kelima, awal pagi tadi. 

Tetapi Federico Bonazzoli menyamakan kedudukan dalam babak pertama menerusi gerakan akrobatik selepas penjaga gol Milan, Mike Maignan, gagal mematahkan hantaran lintang. Kemudian giliran Milan Djuric meletakkan pasukan bergelut itu di depan menerusi tandukannya pada minit ke-72.

Pemain gantian, Rebic, kemudian menemui sentuhan pemusnah pertamanya sejak September lalu melalui percubaan jarak jauh, tetapi ia tidak menghalang Milan untuk berputih mata apabila tercicir dua mata.

Begitupun, pengurus Rossoneri itu tidak percaya pasukannya dianggap mampu menumbangkan Inter di sebalik dia menjangkakan prestasi yang jauh lebih baik daripada anak buahnya ketika berdepan Salernitana.  

 

Pioli memberitahu DAZN: "Situasi di sekitar Milan adalah pelik. Tiada siapa yang menyangka kami mampu memenangi Scudetto dan kemudian anda bertanya kepada saya sama ada kami masih boleh menjuarainya.

"Sudah pasti kami kecewa dan atas sebab itu kami akan cuba beraksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya. Kami perlu menjelmakan tahap persembahan yang berbeza. Kami tidak lemah daripada segi mental tetapi kekurangan kualiti."

Inter memiliki peluang untuk merampas kedudukan peneraju apabila bakal berhitung dengan Sassuolo, awal pagi esok. 

Pioli menuntut Milan agar tidak memikirkan tentang kemunduran yang menghalang mereka daripada mencipta tiga kemenangan berturut-turut itu.

Dia berkata: "Kami kecewa. Kami telah bermula dengan baik dan memenuhi segala syarat untuk melebarkan kelebihan kami. 

"Kami patut menguasai permainan ini dengan lebih baik."

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video