Skip to main content

Bola Sepak

MFL tidak jamin jumlah dana sama

ghani.jpg
Jumlah tajaan kurang daripada musim lalu mungkin kenyataan yang perlu diterima persatuan dan kelab Liga Malaysia, merujuk kepada kekangan ekonomi yang membataskan kutipan nilai tajaan bagi kempen 2020.

Masih belum ada sebarang jaminan yang diberikan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), berhubung jumlah yang akan dibekalkan kepada setiap pasukan menjelang saingan yang akan membuka tirai hujung bulan ini.

Walaupun tirai saingan musim 2020 semakin hampir, namun MFL memilih untuk berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan hak penyiaraan yang akan diagihkan.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Hassan, tiada jaminan mampu diberikan badan itu untuk menyalurkan jumlah yang sama seperti tahun lalu, malah ia mungkin bersifat lebih kecil nilainya jika dibandingkan.

"Itu masih belum diputuskan lagi. Saya rasa tidak dapatlah untuk RM3 juta, namun kami akan berbincang pada 19 Februari ini," katanya.

Musim lalu, setiap pasukan Liga Super dijanjikan dengan jumlah pembahagian hak penyiaran sebanyak RM3 juta untuk Liga Super dan RM1 juta bagi pasukan Liga Perdana, namun ia tidak berlaku.

"Dalam ekonomi ketika ini yang agak perlahan, kami akan menemui rakan kongsi dan menerangkan keadaan semasa. Kami juga akan maklumkan peranan mereka serta bagaimana perkongsian akan berlaku."

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, tidak meletakkan harapan tinggi untuk hak penyiaran yang akan diperoleh musim ini.

Malah, beliau menganggarkan jumlah sebanyak RM1.5 juta buat pasukan Liga Super dan RM500,000 untuk pencabar Liga Perdana dilihat sudah memadai.

"Saya yakin MFL akan berikan kami (pasukan Liga Super) sekurang-kurang RM1.5 juta dan RM500,000 untuk pasukan Liga Perdana selepas melihat penajaan yang diterima. Namun, kalau ia berkurangan, kami tetap akan terima," katanya.



Editor: Nafis Abdullah
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found