Skip to main content

Bola Sepak

MFL serah geran bermula 15 Julai

mflfam.jpg
Selepas didesak pelbagai pihak, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhirnya akur dengan kehendak rakan kongsi mereka apabila berjanji menyerahkan geran tahunan pasukan sebelum 15 Julai ini dengan mengekalkan jumlah RM3 juta untuk pasukan Liga Super dan RM1 juta kepada pasukan Liga Perdana.

MFL menerima kecaman pelbagai pihak susulan kelewatan mereka melunaskan pemberian geran kepada semua pasukan bertanding seperti yang dirancangkan awal Mac lalu.

Dipercayai susulan penarikan diri penaja utama, Telekom Malaysia (TM), situasi itu menyebabkan beberapa pasukan sesak nafas sehingga menjejaskan perancangan musim ini.

Mujur, badan pentadbir bola sepak Malaysia itu berjaya mendapat rakan kongsi baru, iaitu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC), yang membolehkan mereka melakukan pemberian geran berkenaan.

"Tugas EVC dalam struktur baru akan memastikan MFL dapat memberikan hak-hak siaran yang adil buat setiap pasukan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam.

Kemasukan rakan kongsi baru itu menyaksikan setiap pasukan bakal menerima hak penyiaran sama seperti musim lalu bagi musim 2019 ini.

Pembayaran hak penyiaran akan dibuat sebanyak dua kali, dengan pembayaran pertama bermula bulan ini dan disusuli pembayaran akhir 15 Ogos depan.

"Hak siaran sama rata akan diberikan kepada pasukan-pasukan. Separuh daripada geran yang ditetapkan kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana bermula 15 Julai ini dan selebihnya pada 15 Ogos pula."

"Geran yang diberikan oleh MFL akan digunakan untuk banyak perkara, terutama kepada program pembangunan sedia ada," kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

"Kami sangat bersyukur dengan geran yang akan diberikan kerana perbelanjaan pasukan dari Sarawak dan Sabah sangat tinggi," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Jefry Lana.

Advertisement

Must Watch Video