Skip to main content

Bola Sepak

MFL pertimbang penggunaan pengadil import

pengadil.jpg
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak mempunyai halangan untuk menggunakan pengadil import, termasuk dalam aksi final Piala FA 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, dalam satu kenyataan memaklumkan idea penggunaan pengadil import telah lama dicadangkan oleh MFL tetapi tidak mendapat sokongan penuh daripada segelintir pihak atas beberapa faktor.

“Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pun sudah lama mahu mengetengahkan penambahbaikan dalam bahagian ini (pengadilan). 

“Jadi, kami sememangnya terbuka dan bersedia bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam usaha meningkatkan kualiti pengadilan di negara ini,” katanya.

Kevin dalam masa sama turut optimis kehadiran pengadil import bakal memberikan sedikit kelainan dalam kancah bola sepak tempatan selaras dengan hasrat Tunku Ismail yang mahu menyaksikan pembaharuan dalam industri pengadilan tempatan, terutama dengan pengenalan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) tidak lama lagi.

 MFL sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk melakukan penswastaan pengadil dengan menggunakan modul Pegawai Perlawanan Profesional Terhad (PGMOL), iaitu badan pengadil bebas Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai rujukan bagi memantapkan sistem pengadilan tempatan.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video