Skip to main content

Bola Sepak

Messi: Semoga Casillas cepat pulih daripada serangan jantung

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

casillas.jpg
Bintang Barcelona, Lionel Messi, berharap Iker Casillas segera pulih selepas penjaga Porto itu mengalami serangan jantung.

Bekas penjaga gol Sepanyol itu kini dalam keadaan stabil berikutan serangan jantung ketika sesi latihan dengan Porto,semalam. 

Pemain berusia 37 tahun itu -- beraksi 167 kali untuk rekod penampilan terbanyak skuad Sepanyol -- dimasukkan ke hospital sebelum kelab gergasi Portugis berkenaan mengesahkan "masalah jantungnya sudah diatasi".

Setelah mengetuai Barcelona untuk kemenangan 3-0 ke atas Liverpool dalam pertemuan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi, Messi yang menyumbat dua gol menghantar ucapan khas kepada bekas bintang Real Madrid itu.

"Gembira dengan keputusan perlawanan malam ini," tulis Messi di Instagram pasca perlawanan.

"Bagaimanapun, kami masih perlu pergi ke Anfield, ia stadium yang sangat sukar di mana Liverpool -- yang merupakan pasukan mantap -- akan menerima sokongan padu.

"Menjelang detik penting musim ini, kami perlu lebih dekat dan bersatu-padu berbanding sebelum ini.

"Akhir sekali, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk menghantar satu pelukan kepada Casillas dan saya berharap dia segera pulih."

Casillas memenangi lima kejuaraan LaLiga dan tiga gelaran UCL sepanjang 16 musim memperkuatkan Real Madrid selain muncul sebagai benteng akhir Sepanyol ketika musim emas mereka memenangi Euro 2008 dan Euro 2012 di samping Piala Dunia 2010.

Dia menyertai Porto pada 2015 dan membantu mereka memenangi liga, tahun lalu. 

Casillas telah membuat 31 kemunculan liga dan 42 perlawanan secara keseluruhannya musim ini tetapi Porto disingkirkan Liverpool di peringkat suku akhir UCL. 

Advertisement

Must Watch Video